Antarabangsa
(VIDEO) Protes pembunuhan beramai-ramai di Gaza, Jalanan Tokyo ‘bermandi darah’
Jalan-jalan di Tokyo “bermandi darah” pada Sabtu lalu apabila penunjuk perasaan melakukan protes menentang perang rejim zionis Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza.
Jalan-jalan di Tokyo “bermandi darah” pada Sabtu lalu apabila penunjuk perasaan melakukan protes menentang perang rejim zionis Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza.
Mereka menggambarkan genosid atau pembunuhan besar-besaran dengan tubuh puluhan ‘mangsa’ terbaring di lantai dengan kebanyakannya dengan kesan tanda darah.
Protes dikenali sebagai “die-in” itu adalah adegan melakonkan penderitaan di Gaza yang dilanda konflik bagi memprotes nasib rakyat Palestin yang menghadapi serangan berbulan-bulan lamanya angkara rejim Israel.
Agensi berita Anadolu melaporkan banyak video dan gambar acara di ibu negara Jepun itu dihantar di platform X menunjukkan kumpulan penunjuk perasaan berbaring di lantai.
Sebahagian yang lain turut dilihat membawa bendera Palestin, pada masa sama bertindak mengelilingi yang lain.
Satu lagi hantaran menunjukkan seorang penunjuk perasaan dibalut dengan kain putih berlumuran darah dan berbaring, mencerminkan betapa buruknya situasi kemanusiaan di Gaza.
“Gaza memerlukan bantuan anda. Penunjuk perasaan berbaring di lantai seolah-olah mereka mati di hadapan Stesen Shinjuku di Tokyo untuk meningkatkan kesedaran mengenai situasi kemanusiaan yang dahsyat di Semenanjung Gaza,” demikian menurut aktivis tempatan, Thoton Akimoto.
“Hospital Jalan Gaza 6/22 (22 Jun) di pintu keluar selatan Stesen Shinjuku. Satu percubaan dilakukan untuk mencipta semula situasi brutal hospital di Gaza yang tidak dilaporkan media,” tulis seorang aktivis keamanan di platform X dengan nama @musabianpo.
Stesen Shinjuku merupakan hab kereta api utama yang menghubungkan pelbagai laluan di ibu negara.
Al Jazeera melaporkan sekurang-kurangnya 37,598 orang terbunuh dan 86,032 cedera di Gaza dalam serangan rejim zionis Israel sejak 7 Oktober lalu, manakala 1,139 orang maut di Israel. – The Merdeka Times