Terkini
Tindakan nafi geran untuk usahawan bumiputera bercanggah Perlembagaan – SRP
Sebarang polisi kerajaan yang menafikan penyediaan geran khusus untuk usahawan bumiputera dilaksanakan sebelum ini adalah tindakan bertentangan Perkara 153(2) Perlembagaan Persekutuan, demikian kata Pengasas Sukarelawan Rakan Perlembagaan (SRP), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.
- “SRP berpandangan kemudahan geran perniagaan yang disediakan kepada usahawan bumiputera sebelum ini adalah sebahagian daripada Hak Istimewa Bumiputera bagi memenuhi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 153(2).
- “SRP percaya bahawa sebarang polisi kerajaan yang menafikan penyediaan Geran untuk perniagaan adalah tindakan yang bertentangan dengan Perkara 153(2) berkenaan,” kata Pengasas Sukarelawan Rakan Perlembagaan (SRP), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz dalam kenyataan media di sini hari ini.
- Ini kerana terdapat perincian hak istimewa bumiputera dalam Perkara 153(2) iaitu salah satunya adalah “kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan Kerajaan Persekutuan” untuk bumiputera bagi mengendalikan pertukangan atau perniagaan.
- Beliau berkata demikian mengulas laporan Utusan Malaysia bertarikh 20 Mei lalu bertajuk “Tiada lagi geran ditawarkan bantu usahawan bumiputera” yang memetik kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebagai berkata ketiadaan skim geran baru untuk usahawan bumiputera kemungkinan dilihat agak kasar, namun itulah pendekatan terbaik ekosistem bisnes kelompok tersebut.
- Khairul Azam berkata pengumuman Menteri Ekonomi itu juga melanggar satu lagi peruntukan perlembagaan iaitu gagal membuat rundingan dengan Majlis Raja-raja sebelum pengumuman perubahan dasar 153(2) berkenaan dilakukan.
- Ini kerana merujuk fungsi Majlis Raja-Raja yang termaktub dalam Perkara 38(5) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Majlis Raja-Raja hendaklah dirunding, sebelum sebarang perubahan tentang dasar menyentuh tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153 dilakukan.
KUALA LUMPUR — Sebarang polisi kerajaan yang menafikan penyediaan geran khusus untuk usahawan bumiputera dilaksanakan sebelum ini adalah tindakan bertentangan Perkara 153(2) Perlembagaan Persekutuan, demikian kata Pengasas Sukarelawan Rakan Perlembagaan (SRP), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.
Khairul Azam yang juga seorang peguam menjelaskan terdapat perincian hak istimewa bumiputera dalam Perkara 153(2) iaitu salah satunya adalah “kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan Kerajaan Persekutuan” untuk bumiputera bagi mengendalikan pertukangan atau perniagaan.
“SRP berpandangan kemudahan Geran perniagaan yang disediakan kepada usahawan bumiputera sebelum ini adalah sebahagian daripada Hak Istimewa Bumiputera bagi memenuhi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 153(2) berkenaan.
“SRP percaya bahawa sebarang polisi kerajaan yang menafikan penyediaan Geran untuk perniagaan adalah tindakan yang bertentangan dengan Perkara 153(2) berkenaan,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas laporan Utusan Malaysia bertarikh 20 Mei lalu bertajuk “Tiada lagi geran ditawarkan bantu usahawan bumiputera” yang memetik kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebagai berkata ketiadaan skim geran baru untuk usahawan bumiputera kemungkinan dilihat agak kasar, namun itulah pendekatan terbaik ekosistem bisnes kelompok tersebut.
Rafizi Ramli berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai sifar pembiayaan percuma itu menerusi penjajaran semula tiga agensi bermandat bumiputera.
Tanpa menafikan bahawa langkah itu bakal dianggap segelintir pihak sebagai kontroversi, beliau berkata inisiatif baharu tersebut lebih adil dan membuka peluang ramai usahawan.
Khairul Azam berkata pihaknya juga berpendapat pengumuman Menteri Ekonomi itu telah melanggar satu lagi peruntukan perlembagaan iaitu gagal membuat rundingan dengan Majlis Raja-raja sebelum pengumuman perubahan dasar 153(2) berkenaan dilakukan.
Ini kerana merujuk fungsi Majlis Raja-Raja yang termaktub dalam Perkara 38(5) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Majlis Raja-Raja hendaklah dirunding, sebelum sebarang perubahan tentang dasar menyentuh tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153 dilakukan.
“SRP mengambil maklum bahawa sebahagian penerima geran sebelum ini telah menunjukkan sikap yang tidak bertanggungjawab seperti dirujuk YB Menteri Ekonomi dalam laporan media berkenaan.
“Namun walaupun demikian, kelemahan pelaksanaan dasar pemberian geran sebelum ini boleh diperbaiki dan diperkemaskan pelaksanaannya dengan menggunakan sistem KPI atau sistem kebertanggungjawaban selepas penerimaan Geran, bukannya dengan cara menghentikannya serta merta sambil melanggar 2 peruntukan Perlembagaan untuk mencapai matlamat yang berlawanan dengan semangat dan aspirasi Perlembagaan Persekutuan,” katanya. — The Merdeka Times
Sokong TMT media berani, benar & bebas di pautan https://support.themerdekatimes.com/