Connect with us

Terkini

Tindakan nafi geran untuk usahawan bumiputera bercanggah Perlembagaan – SRP

Sebarang polisi kerajaan yang menafikan penyediaan geran khusus untuk usahawan bumiputera dilaksanakan sebelum ini adalah tindakan bertentangan Perkara 153(2) Perlembagaan Persekutuan, demikian kata Pengasas Sukarelawan Rakan Perlembagaan (SRP), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz. 

Hidayah Sani

Published

on

Foto: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli (kiri) dan Pengasas Sukarelawan Rakan Perlembagaan (SRP), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz (kanan).
  • “SRP berpandangan kemudahan geran perniagaan yang disediakan kepada usahawan bumiputera sebelum ini adalah sebahagian daripada Hak Istimewa Bumiputera bagi memenuhi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 153(2).
  • “SRP percaya bahawa sebarang polisi kerajaan yang menafikan penyediaan Geran untuk perniagaan adalah tindakan yang bertentangan dengan Perkara 153(2) berkenaan,” kata Pengasas Sukarelawan Rakan Perlembagaan (SRP), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz dalam kenyataan media di sini hari ini.
  • Ini kerana terdapat perincian hak istimewa bumiputera dalam Perkara 153(2) iaitu salah satunya adalah “kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan Kerajaan Persekutuan” untuk bumiputera bagi mengendalikan pertukangan atau perniagaan.
  • Beliau berkata demikian mengulas laporan Utusan Malaysia bertarikh 20 Mei lalu bertajuk “Tiada lagi geran ditawarkan bantu usahawan bumiputera” yang memetik kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebagai berkata ketiadaan skim geran baru untuk usahawan bumiputera kemungkinan dilihat agak kasar, namun itulah pendekatan terbaik ekosistem bisnes kelompok tersebut.
  • Khairul Azam berkata pengumuman Menteri Ekonomi itu juga melanggar satu lagi peruntukan perlembagaan iaitu gagal membuat rundingan dengan Majlis Raja-raja sebelum pengumuman perubahan dasar 153(2) berkenaan dilakukan.
  • Ini kerana merujuk fungsi Majlis Raja-Raja yang termaktub dalam Perkara 38(5) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Majlis Raja-Raja hendaklah dirunding, sebelum sebarang perubahan tentang dasar menyentuh tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153 dilakukan.

KUALA LUMPUR — Sebarang polisi kerajaan yang menafikan penyediaan geran khusus untuk usahawan bumiputera dilaksanakan sebelum ini adalah tindakan bertentangan Perkara 153(2) Perlembagaan Persekutuan, demikian kata Pengasas Sukarelawan Rakan Perlembagaan (SRP), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz. 

Khairul Azam yang juga seorang peguam menjelaskan terdapat perincian hak istimewa bumiputera dalam Perkara 153(2) iaitu salah satunya adalah “kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan Kerajaan Persekutuan” untuk bumiputera bagi mengendalikan pertukangan atau perniagaan.

“SRP berpandangan kemudahan Geran perniagaan yang disediakan kepada usahawan bumiputera sebelum ini adalah sebahagian daripada Hak Istimewa Bumiputera bagi memenuhi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 153(2) berkenaan.

“SRP percaya bahawa sebarang polisi kerajaan yang menafikan penyediaan Geran untuk perniagaan adalah tindakan yang bertentangan dengan Perkara 153(2) berkenaan,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan Utusan Malaysia bertarikh 20 Mei lalu bertajuk “Tiada lagi geran ditawarkan bantu usahawan bumiputera” yang memetik kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebagai berkata ketiadaan skim geran baru untuk usahawan bumiputera kemungkinan dilihat agak kasar, namun itulah pendekatan terbaik ekosistem bisnes kelompok tersebut.

Rafizi Ramli berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai sifar pembiayaan percuma itu menerusi penjajaran semula tiga agensi bermandat bumiputera.

Tanpa menafikan bahawa langkah itu bakal dianggap segelintir pihak sebagai kontroversi, beliau berkata inisiatif baharu tersebut lebih adil dan membuka peluang ramai usahawan.

Khairul Azam berkata pihaknya juga berpendapat pengumuman Menteri Ekonomi itu telah melanggar satu lagi peruntukan perlembagaan iaitu gagal membuat rundingan dengan Majlis Raja-raja sebelum pengumuman perubahan dasar 153(2) berkenaan dilakukan.

Ini kerana merujuk fungsi Majlis Raja-Raja yang termaktub dalam Perkara 38(5) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Majlis Raja-Raja hendaklah dirunding, sebelum sebarang perubahan tentang dasar menyentuh tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153 dilakukan.

“SRP mengambil maklum bahawa sebahagian penerima geran sebelum ini telah menunjukkan sikap yang tidak bertanggungjawab seperti dirujuk YB Menteri Ekonomi dalam laporan media berkenaan.

“Namun walaupun demikian, kelemahan pelaksanaan dasar pemberian geran sebelum ini boleh diperbaiki dan diperkemaskan pelaksanaannya dengan menggunakan sistem KPI atau sistem kebertanggungjawaban selepas penerimaan Geran, bukannya dengan cara menghentikannya serta merta sambil melanggar 2 peruntukan Perlembagaan untuk mencapai matlamat yang berlawanan dengan semangat dan aspirasi Perlembagaan Persekutuan,” katanya. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di pautan https://support.themerdekatimes.com/

Author

Terkini

Jangan terpedaya helah sami palsu minta sedekah – Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Orang awam khususnya pelanggan di pasar, kompleks makanan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) diingatkan supaya tidak terpedaya dengan kehadiran sami-sami palsu yang difahamkan menjalankan kegiatan meminta sedekah.

Hidayah Sani

Published

on

Foto: Sami-sami palsu yang difahamkan menjalankan kegiatan meminta sedekah.
  • Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkata berdasarkan siasatan pihak Majlis didapati terdapat sindiket yang mendalangi aktiviti tidak sihat membabitkan sami palsu tersebut.
  • Pihak Majlis telah mengadakan perbincangan dan mesyuarat dengan jabatan teknikal Majlis dan agensi luar seperti Jabatan Imigresen Malaysia, PDRM, Perbadanan Harmoni Pulau Pinang, Malaysian Buddhist Association dan United Buddhist Organisation Malaysia untuk membanteras kehadiran kelompok sami palsu itu di pasar kompleks makanan Majlis. 
  • “Kerjasama semua orang awam terutamanya para pelanggan di pasar atau kompleks makanan adalah dimohon supaya lebih peka dan tidak terpedaya dengan kehadiran mereka dalam meminta sedekah. 
  • “Sekiranya ingin menghulurkan bantuan, adalah digalakkan secara memberi makanan dan bukan wang ringgit kepada sami-sami palsu ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini pada Rabu.

KUALA LUMPUR — Orang awam khususnya pelanggan di pasar, kompleks makanan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) diingatkan supaya tidak terpedaya dengan kehadiran sami-sami palsu yang difahamkan menjalankan kegiatan meminta sedekah.

MBPP berkata berdasarkan siasatan pihak Majlis didapati terdapat sindiket yang mendalangi aktiviti tidak sihat membabitkan sami palsu tersebut.

Sehubungan itu, pihak Majlis telah mengadakan perbincangan dan mesyuarat dengan jabatan teknikal Majlis dan agensi luar seperti Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Harmoni Pulau Pinang (Harmonico), Malaysian Buddhist Association dan United Buddhist Organisation Malaysia untuk membanteras kehadiran kelompok sami palsu itu di pasar kompleks makanan Majlis. 

“Kerjasama semua orang awam terutamanya para pelanggan di pasar atau kompleks makanan adalah dimohon supaya lebih peka dan tidak terpedaya dengan kehadiran mereka dalam meminta sedekah. 

“Sekiranya ingin menghulurkan bantuan, adalah digalakkan secara memberi makanan dan bukan wang ringgit kepada sami-sami palsu ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini pada Rabu.

Difahamkan, hari ini Ahli Majlis Tan Soo Siang, Pengerusi Gantian Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam bersama Ahli Majlis Choong You Ray dan Quah Boon Lim telah mengadakan satu sidang media khas di Kompleks Makanan Batu Lanchang, Pulau Pinang untuk menguar-uarkan kepada orang awam terutama pelanggan di pasar, kompleks makanan Majlis supaya tidak terpedaya dengan kehadiran sami-sami palsu itu.

Selepas sidang media tersebut, beberapa Ahli Majlis bersama pegawai Jabatan Pelesenan mengedarkan pelekat peringatan kepada para peniaga dan turut meletakkannya di atas meja makan untuk memberi maklumat dan kesedaran kepada orang awam.

Foto beberapa Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang, termasuk Tan Soo Siang (tengah) yang dimuat naik MBPP di Facebook hari ini.

MBPP berkata untuk menangani masalah isu sami palsu tersebut, pihak Majlis akan  mengadakan beberapa langkah pencegahan antaranya melakukan Operasi Serbu Bersepadu bersama agensi-agensi pihak berkuasa seperti PDRM dan Imigresen serta sami-sami yang dikesan akan diminta meninggalkan bangunan pasar atau kompleks makanan dengan serta-merta.

Antara lokasi yang kerap menjadi kunjungan sami-sami palsu tersebut adalah Tapak Penjaja Lebuh Cecil; Pasar Jelutong; Pasar dan Kompleks Makanan Batu Lanchang; Pasar dan Kompleks Makanan Bayan Baru; Pasar Ayer Itam; Pasar dan Kompleks Makanan Padang Tembak; Kompleks medan angsana; PSS Jalan Chowrasta; Pasar Pulau Tikus; Kompleks Lebuh Pitt; Kompleks Lorong Stewart dan Tapak Penjaja Lorong Baru. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending