Connect with us

Kolumnis

Jangan kembalikan tradisi Jahiliah dalam menyambut Aidilfitri

BARU-BARU ini, tular satu video klip lagu raya di media sosial menampilkan seorang usahawan sensasi dan beberapa penari berpakaian spandex ketat melakukan tarian tidak senonoh. 

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Research And Development MRM

Published

on

Foto: Tangkap layar video yang tular oleh usahawan sensasi dan beberapa penari berpakaian spandex ketat.

BARU-BARU ini, tular satu video klip lagu raya di media sosial menampilkan seorang usahawan sensasi dan beberapa penari berpakaian spandex ketat melakukan tarian tidak senonoh. 

Video yang dimuat naik itu mengundang banyak kritikan daripada netizen dan agamawan yang merasakan tindakan usahawan itu seolah-olah tidak menghormati kesucian bulan Ramadan dan tidak mencerminkan langsung nilai-nilai Islam.  

Lebih mengejutkan lagi adalah respon usahawan itu yang mengatakan ia hanyalah sekadar gurauan. 

“Sebenarnya lagu raya saya tiada pun. Saya saja sakat kamu semua. Kepada mak dan isteri saya, jangan marah ya. Kepada kamu semua, April Fool,” kata usahawan itu dalam video di laman Facebooknya.

Jengkel penulis melihat adegan yang sama dimainkan setiap tahun seakan-akan menjadi upacara raya tahunan. 

Setiap kali memuat naik konten tidak senonoh dan menyentuh sensitiviti umat Islam sehingga mendapat kecaman ramai dan hendak membuat tindakan, setiap kali itu juga ia akan mengeluarkan kenyataan maaf dan mengatakan tidak berniat berkelakuan sedemikian. 

Dan adakah kita akan melihat perkara yang sama berulang lagi pada tahun hadapan? 

Melihat isu ini, penulis tidak pasti sama ada pelaku sebegini mengetahui atau tidak makna di sebalik perayaan Aidilfitri dan bagaimana Rasulullah SAW berusaha membuang tradisi Jahiliah daripada perayaan umat Islam?

Terdahulu, Rasulullah SAW melihat orang Arab Jahiliah merayakan dua perayaan dengan sangat meriah di mana mereka akan berhibur, menari dan minum minuman keras sehingga mabuk tanpa batas. 

Suatu tradisi Jahiliah yang tidak mencerminkan roh Islam dan bukan juga cara hidup seorang Muslim.

Kerana itulah, setibanya di Madinah, baginda terus melarang dua perayaan tersebut diraikan dan menggantikan perayaan yang bebas daripada tradisi Jahiliah dan lebih mulia di mata Allah SWT. 

Sabda Rasulullah SAW: “Dahulu kamu mempunyai dua hari sebagai perayaan tetapi Allah SWT telah menggantikan bagi umat Islam dengan dua hari yang lebih baik daripada perayaan itu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.” (Sunnah an-Nasai, no. 1556)

Maka, adakah menari dengan berpakaian spandex ketat itu menggambarkan nilai Islam dan akhlak seorang Muslim atau cubaan menghidupkan kembali tradisi Jahiliah?  

Sedangkan, Aidilfitri disyariatkan kepada umat Islam untuk meninggalkan tradisi Jahiliah dan berhijrah menjadi Muslim yang lebih baik. Tidak perlu lagu hatta tarian yang mencolok mata untuk menggambarkan kegembiraan dan kemeriahan Aidilfitri. 

Bahkan, istilah ‘Aidilfitri’ sahaja sudah cukup menggambarkan roh keindahan Islam yang sebenarnya dalam merayakan Aidilfitri. 

Secara harfiah, ‘aidil’ berasal daripada perkataan Arab ‘aid’ yang bermaksud perayaan dan ‘fitri’ pula bermaksud fitrah. 

Ringkasnya, Aidilfitri bermaksud ‘Hari Raya Fitrah’ iaitu hari meraikan kejayaan Muslim kembali kepada fitrah kemanusiaan selepas menerusi asuhan madrasah Ramadan. 

Ini adalah simbolik kemenangan rohani atas nafsu dan keinginan duniawi yang amat berbeza dengan tradisi Jahiliah sebelum wujudnya Aidilfitri, di mana hanya hiburan dan nafsu yang diutamakan. 

Maka setelah sebulan mengekang nafsu, apakah kita ingin mengembalikan semula tradisi Jahiliah yang telah ditinggalkan setelah Allah SWT menggantikan yang lebih baik seolah-olah kita tidak mempelajari apa-apa langsung daripada madrasah Ramadhan?

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah 2:183) 

Barangkali sudah tiba masanya kita menjauhkan diri kita dengan individu terbabit agar tidak memberi populariti dan perhatian yang tidak sepatutnya kepadanya. 

“Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji).” (Surah Al-An’am 6:70)

Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap video-video mencemarkan kesucian agama walaupun ia sekadar ‘gurauan’. 

Gurauan bukan tiket ‘menghalalkan’ seseorang boleh memperlecehkan agama. Agama sama sekali tidak boleh dijadikan sebagai gurauan atau dipandang remeh. 

Sampai bila umat Islam hendak tergelincir dalam perangkap yang sama? – The Merdeka Times    

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *