Terkini
Kawasan khas merokok bertentangan dasar kawalan tembakau negara – FOMCA
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menolak cadangan penyediaan kawasan khas merokok khususnya bagi premis makanan di kawasan sempit.
- Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menolak cadangan penyediaan kawasan khas merokok khususnya bagi premis makanan di kawasan sempit.
- Penyelaras kawalan tembakau FOMCA, Muhammad Sha’ani Abdullah berkata jika kawasan merokok perlu, ia harus menyokong objektif menyahnormalkan tabiat merokok seperti menawarkan keselesaan kepada perokok, termasuk perlindungan dan tempat duduk.
- “Hanya kotak bertanda merah di atas lantai (perlu disediakan),” katanya dipetik Free Malaysia Today pada Selasa.
- Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dilaporkan menyokong cadangan penyediaan kawasan khas merokok, namun berpandangan inisiatif berkenaan perlu dirancang dan dilaksanakan secara teliti.
- Presidennya, Dr Azizan Abdul Aziz berkata inisiatif itu dapat menyumbang kepada perubahan sikap sedikit demi sedikit bahawa merokok bukan sesuatu yang normal, sekiranya dilaksanakan dengan betul.
KUALA LUMPUR — Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menolak cadangan penyediaan kawasan khas merokok khususnya bagi premis makanan di kawasan sempit.
Penyelaras kawalan tembakau FOMCA, Muhammad Sha’ani Abdullah berkata ini kerana tindakan itu bercanggah dasar kawalan tembakau negara.
Beliau berkata sekiranya kawasan merokok perlu, ia harus menyokong objektif menyahnormalkan tabiat merokok seperti menawarkan keselesaan kepada perokok, termasuk perlindungan dan tempat duduk.
“Hanya kotak bertanda merah di atas lantai (perlu disediakan),” katanya dipetik Free Malaysia Today pada Selasa.
Sha’ani berkata kanak-kanak tidak sepatutnya terdedah kepada kawasan berkenaan, bagi mengelakkan mereka turut terjebak tabiat merokok.
Beliau berkata perokok perlu menunggu sekurang-kurangnya 45 minit selepas merokok sebelum masuk ke dalam rumah kerana asap rokok mengambil masa lapan hingga 10 jam untuk hilang dari paru-paru mereka.
Sementara itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dilaporkan menyokong cadangan penyediaan kawasan khas merokok, namun berpandangan inisiatif berkenaan perlu dirancang dan dilaksanakan secara teliti.
Presidennya, Dr Azizan Abdul Aziz berkata inisiatif itu dapat menyumbang kepada perubahan sikap sedikit demi sedikit bahawa merokok bukan sesuatu yang normal, sekiranya dilaksanakan dengan betul.
Dr Azizan mencadangkan Kementerian Kesihatan (KKM) bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan pemilik premis dalam mengenal pasti tempat sesuai bagi memastikan inisiatif itu berjaya.
“Kesihatan awam mesti diberi keutamaan tertinggi dalam membuat keputusan ini, bukannya kesenangan pemilik kedai dan perokok.
“Kawasan khas merokok patut diletakkan di luar bangunan dan jauh dari kawasan sesak bagi mengelak pendedahan asap sekunder kepada golongan bukan perokok,” katanya.
Dr Azizan mengesyorkan kementerian mengkaji pelaksanaan inisiatif seperti itu di Singapura dan Jepun bagi contoh amalan terbaik.
KKM sebelum ini dilaporkan menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan pandangan pelbagai pihak berhubung cadangan menyediakan kawasan khas merokok, terutama bagi premis makanan di kawasan sempit.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia bagi memastikan penyelesaian terbaik dan menyeluruh dapat diwujudkan, sebelum sebarang keputusan mengenainya dimuktamadkan.
Memperincikan rasional cadangan mewujudkan kawasan khas merokok, Dr Dzulkefly berkata ia bertujuan memastikan aktiviti penguatkuasaan bagi larangan merokok di premis makanan dapat dibuat secara berkesan dan menyeluruh. — The Merdeka Times