Connect with us

Terkini

Keputusan Mahkamah Persekutuan kemenangan buat prinsip kesamarataan – Sisters in Islam

Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah, merupakan kemenangan buat prinsip kesamarataan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama atau latar belakang etnik.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Peguam, Nik Elin.
  • Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah, merupakan kemenangan buat prinsip kesamarataan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama atau latar belakang etnik.
  • Sisters in Islam (SIS) dalam satu kenyataan berkata keputusan Mahkamah Persekutuan itu menandakan kejayaan Perlembagaan Persekutuan Malaysia iaitu undang-undang tertinggi negara dalam menekankan prinsip undang-undang yang sama untuk semua rakyat. 
  • “…Marilah kita semua meraikan hari penting terteguhnya Perlembagaan Persekutuan ini! Bertentangan dengan kenyataan “Black Friday” YB Datuk Seri Takiyuddin, ini sememangnya hari Jalur Gemilang! Jangan kita lupakan asas-asas negara yang dibina nenek moyang kita,” kata SIS dalam kenyataan pada Sabtu lalu.

KUALA LUMPUR — Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah, merupakan kemenangan buat prinsip kesamarataan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama atau latar belakang etnik.

Sister in Islam (SIS) dalam satu kenyataan berkata keputusan Mahkamah Persekutuan itu menandakan kejayaan Perlembagaan Persekutuan Malaysia iaitu undang-undang tertinggi negara dalam menekankan prinsip undang-undang yang sama untuk semua rakyat. 

Katanya, tindakan membatalkan 16 peruntukan dalam enakmen tersebut yang dianggap tidak berperlembagaan itu juga patut dipuji kerana ia menonjolkan keperluan kepada pematuhan Perlembagaan Persekutuan oleh Dewan Undangan Negeri.

Keputusan Mahkamah Persekutuan menandakan satu peristiwa penting dalam usaha Malaysia memperoleh keadilan dan kesamarataan

“Ia berfungsi sebagai peringatan tentang kepentingan menegakkan prinsip perlembagaan dan menghormati kedaulatan undang-undang dalam membina masyarakat yang adil dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.

“…Marilah kita semua meraikan hari penting terteguhnya Perlembagaan Persekutuan ini! Bertentangan dengan kenyataan “Black Friday” YB Datuk Seri Takiyuddin, ini sememangnya hari Jalur Gemilang! Jangan kita lupakan asas-asas negara yang dibina nenek moyang kita,” kata SIS dalam kenyataan pada Sabtu lalu.

Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, termasuk bagi kesalahan liwat, gangguan seksual, menawarkan atau menyediakan khidmat maksiat dan memusnahkan atau mencemar rumah ibadat adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Tengku Maimun dalam penghakiman panel itu dilaporkan sebagai berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana DUN membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Keputusan itu mendapat reaksi negatif daripada Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyifatkan hari kejadian sebagai ‘Black Friday’ dan sejarah hitam kepada umat Islam.

Takiyuddin berkata ketetapan diputuskan mahkamah itu bakal memberi kesan buruk kepada undang-undang syariah di 14 negeri.

Mengulas lanjut, SIS berkata adalah satu tuntutan tidak berasas untuk mengatakan keputusan itu sebagai satu ancaman kepada undang-undang syariah negeri lain, sebaliknya keputusan berkenaan dilihat menekankan keperluan menghormati prinsip perlembagaan. — The Merdeka Times

Authors

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *