Connect with us

Terkini

Keputusan kes Nik Elin : Bukan isu perlembagaan semata, beri kesan pada muslim – Peguam

Peguam, Lukman Sheriff Alias mendakwa terdapat salah faham yang sedang bertebaran di media sosial yang kononnya keputusan kes membabitkan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman, hanya menyentuh isu Perlembagaan.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Reina Lum (kiri), Tun Laila (tengah) dan Peguam, Lukman Sheriff Alias (kanan).
  • Peguam, Lukman Sheriff Alias mendakwa terdapat salah faham yang sedang bertebaran di media sosial yang kononnya keputusan kes membabitkan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman, hanya menyentuh isu Perlembagaan.
  • Dalam hantaran Facebooknya beliau berkata, keputusan kes tersebut memberi kesan ke atas umat Islam di Malaysia.
  • Lukman turut membetulkan salah faham kononya terdapat kebaikan jika hak menggubal jenayah syariah diberikan sepenuhnya kepada Persekutuan berbanding dibuat oleh negeri-negeri.
  • Katanya, pihak yang berpendapat sedemikian tidak memahami asas Perlembagaan.

KUALA LUMPUR – Peguam, Lukman Sheriff Alias mendakwa terdapat salah faham yang sedang bertebaran di media sosial yang kononnya keputusan kes membabitkan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman, hanya menyentuh isu Perlembagaan.

Dalam hantaran Facebooknya beliau berkata, keputusan kes tersebut memberi kesan ke atas umat Islam di Malaysia.

“Kes Nik Elin dan Iki Putra membatalkan peruntukan jenayah syariah. Kesalahan syariah adalah seperti kesalahan berjudi, minum arak, zina dan sebagainya.

“Kesalahan jenayah syariah selama ini membentuk nilai budaya kita. Kalau jenayah syariah tidak lagi dibenarkan, sudah tentu ia akan memberi kesan kepada cara hidup muslim.

“Adalah tidak betul mengatakan ia semata-mata isu Perlembagaan dan tidak beri kesan kepada muslim,” kata beliau.

Lukman turut membetulkan salah faham kononya terdapat kebaikan jika hak menggubal jenayah syariah diberikan sepenuhnya kepada Persekutuan berbanding dibuat oleh negeri-negeri.

Katanya, pihak yang berpendapat sedemikian tidak memahami asas Perlembagaan.

Ia berikutan persekutuan hanya boleh membuat undang-undang yang terpakai kepada semua tidak kira agama dan bangsa.

Ini kerana undang-undang peringkat Persekutuan tidak boleh melakukan diskriminasi yang mengecualikan mana-mana kumpulan daripada sebarang bentuk hukuman.

“Kalau bukan muslim tidak setuju haramkan meminum arak atau berjudi, Persekutuan tiada hak membuat undang-undang yang menghalang muslim sahaja dari minum arak dan berjudi.

“Sebab itu selama ini, negeri telah dibenarkan di bawah Perlembagaan menggubal undang-undang syariah untuk menghalang muslim sahaja dari minum arak atau berjudi.

“Kalau negeri-negeri tiada lagi kuasa menggubal jenayah syariah maka tiada siapa lagi boleh menghalang muslim dari berjudi atau minum arak,” kata beliau dalam perkongsian di Facebook.

Dakwaan kes Nik Elin menunjukkan perundangan sivil lebih jelas dan lengkap turut disanggah Lukman.

Menurut beliau, mahkamah tidak melihat pun undang-undang sivil. Mahkamah hanya melihat samada undang-undang shariah yang terlibat menyentuh intipati (pith and substance) bidangkuasa persekutuan.

Jika ia menyentuh bidangkuasa persekutuan, peruntukan undang-undang shariah menjadi tidak sah.

“Contohnya bidangkuasa Parlimen adalah betting yang termasuk berjudi.

“Mana-mana undang-undang  shariah yang intipatinya menyentuh judi, ini adalah tidak sah.

“Samada peruntukan undang-undang sivil sudah wujud atau tidak atau terdapat pertindihan dengan peruntukan shariah adalah tidak relevan.

Dan disebabkan itu jelas beliau, mahkamah tidak menyentuh  pun undang-undang  berkaitan sports toto.

Justeru menurut beliau, adalah penting negeri diberi kuasa menggubal undang-undang jenayah syariah yang terpakai kepada muslim sahaja dan berpendapat supaya Perlembagaan dipinda bagi tujuan tersebut.

Mahkamah Persekutuan Jumaat lalu mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam penghakiman panel berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana DUN membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya. – The Merdeka Times

Author

Terkini

Perundangan baharu kawal selia penerbitan kalimah ‘Allah’ sedang disediakan – KDN

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menyediakan perundangan baharu bagi mengawal selia penerbitan yang mengandungi kalimah “Allah” selaras dengan dasar diputuskan Majlis Raja-Raja.

Hidayah Sani

Published

on

Foto: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
  • Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penggubalan perundangan baharu itu memerlukan penelitian mendalam dari pelbagai aspek sensitif melibatkan keselamatan negara, ketenteraman awam dan keharmonian agama di Malaysia.
  • “Dalam hal ini, KDN perlu melalui proses-proses libat urus dan kerjasama bersama pihak-pihak ditetapkan termasuk pihak JAKIM, Pihak Berkuasa Negeri-negeri, Kerajaan Negeri-negeri dan AGC dalam menyediakan perundangan baharu yang berkenaan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan Majlis Raja-Raja. 
  • “Tindakan dan proses ini sedang berjalan bagi mendapatkan satu keputusan yang dipersetujui,” katanya menerusi jawapan bertulis di Parlimen pada Isnin.
  • Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan mengapa Kerajaan belum mengumumkan status dan kesan penggunaan terkini mengenai empat kalimah suci orang Islam iaitu lafaz Allah, solat, Kaabah dan Baitullah sedangkan kes melibatkan nama Allah kian meningkat.

KUALA LUMPUR — Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menyediakan perundangan baharu bagi mengawal selia penerbitan yang mengandungi kalimah “Allah” selaras dengan dasar diputuskan Majlis Raja-Raja.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penggubalan perundangan baharu itu memerlukan penelitian mendalam dari pelbagai aspek sensitif melibatkan keselamatan negara, ketenteraman awam dan keharmonian agama di Malaysia.

“Dalam hal ini, KDN perlu melalui proses-proses libat urus dan kerjasama bersama pihak-pihak ditetapkan termasuk pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pihak Berkuasa Negeri-negeri, Kerajaan Negeri-negeri dan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam menyediakan perundangan baharu yang berkenaan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan Majlis Raja-Raja. 

“Tindakan dan proses ini sedang berjalan bagi mendapatkan satu keputusan yang dipersetujui,” katanya menerusi jawapan bertulis di Parlimen pada Isnin.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan mengapa Kerajaan belum mengumumkan status dan kesan penggunaan terkini mengenai empat kalimah suci orang Islam iaitu lafaz Allah, solat, Kaabah dan Baitullah sedangkan kes melibatkan nama Allah kian meningkat.

Pada 23 Oktober 2023,  media melaporkan garis panduan baharu mengenai Arahan Pentadbiran KDN berkaitan penggunaan kalimah Allah akan diteliti dan diputuskan pada mesyuarat Majlis Raja-Raja pada minggu terbabit.

Saifuddin dilaporkan mengatakan cadangan garis panduan itu sudah dikemukakan kepada MKI selepas selesai lima sesi libat urus diadakan sebelum ini.

Katanya, KDN akan mengambil panduan hasil mesyuarat Majlis Raja-Raja itu untuk mengadakan garis panduan baharu bagi isu penggunaan kalimah Allah.

KDN sebelum ini mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak, termasuk AGC, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, JAKIM, Majlis Profesor Malaysia dan Persatuan-persatuan Peguam Muslim Syarie Malaysia.

Ia susulan KDN dan kerajaan Malaysia pada 15 Mei 2023 dilaporkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan. 

Memetik BERNAMA, Jill Ireland dilaporkan memohon semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 supaya dikembalikan lapan cakera padat (CD) dengan tajuk mengandungi kalimah ‘Allah’ yang dirampas daripadanya pada 11 Mei 2008 dan perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah itu dalam penerbitan Kristian.

Mahkamah pada 2014 memerintahkan CD itu dipulangkan dan setelah melalui beberapa proses, memutuskan arahan KDN pada 1986 untuk tidak membenarkan penggunaan empat perkataan itu menyalahi undang-undang dan tidak rasional. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending