Antarabangsa
India kalah dengan Pakistan, Arshdeep Singh jadi sasaran kecaman pelampau Hindu
Pemain kriket India, Arshdeep Singh dihujani kecaman netizen di Twitter yang berbaur kebencian dan perkauman susulan kekalahan India dalam pertandingan kriket menentang Pakistan pada Ahad lalu.
- Pemain kriket India, Arshdeep Singh, 23, menerima kecaman hebat di Twitter susulan kekalahan India dalam pertandingan kriket menentang Pakistan, Ahad lalu.
- Kecaman berbaur kebencian dan perkauman itu turut menggelarkanya ‘Khalistani’ yang merujuk kepada gerakan pemisah Sikh di wilayah utara India, Punjab.
- Arshdeep merupakan pemain kriket baharu yang menjadi sasaran kepada kempen kebencian dan kritikan kejam susulan kekalahan kepada Pakistan.
- Sejak lapan tahun Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Narendra Modi berkuasa, fahaman ‘majoritarian Hindu’ membelenggu India menyaksikan golongan minoriti bukan Hindu terpinggir.
INDIA – Pemain kriket India, Arshdeep Singh dihujani kecaman netizen di Twitter yang berbaur kebencian dan perkauman susulan kekalahan India dalam pertandingan kriket menentang Pakistan pada Ahad lalu.
Rata-rata warga maya menyerang pemain kriket yang beragama Sikh itu menyalahkan pemain itu, sekali gus menggelarnya ‘Khalistani’ yang merujuk kepada gerakan pemisah Sikh yang menuntut wilayah utara India, Punjab dimerdekakan.
Arshdeep, 23, merupakan pemain kriket baharu yang menjadi sasaran kepada kempen kebencian dan kritikan kejam susulan kekalahan pasukan kriket India kepada Pakistan.
Insiden demikian bukanlah kali pertama berlaku di India di mana kumpulan pelampau menyasarkan pemain bukan Hindu.
Oktober tahun lalu menyaksikan seorang lagi pemain kriket, Mohammed Shami, jadi sasaran kecaman perkauman selepas pasukan India kalah.
Sejak lapan tahun Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Narendra Modi berkuasa, fahaman ‘majoritarian Hindu’ membelenggu India menyaksikan golongan minoriti bukan Hindu terpinggir.
Hukuman mati secara terbuka terhadap orang Islam menjadi perkara biasa di India dan banyak undang-undang serta tindakan dilaksanakan meletakkan kehidupan kelompok minoriti dalam bahaya.
Minoriti lain seperti Kristian juga menjadi sasaran di mana sekolah dan gereja mereka diserang ekoran dakwaan kumpulan berhaluan kanan Hindu.
Kaum Sikh juga semakin kerap diserang susulan sekatan selama setahun ke atas kesatuan petani pada 2021 di New Delhi.
Turut menjadi sasaran semasa perlawanan kriket bersama Pakistan ialah orang Islam, terutamanya pelajar yang diserang setiap kali India kalah kepada jirannya yang merupakan negara muslim.
Sumber: Al Jazeera