Terkini
Bantu OKU daftar dengan JKM – Nancy Shukri
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) giat memperkasa kempen pendaftaran golongan orang kurang upaya (OKU) dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) giat memperkasa kempen pendaftaran golongan orang kurang upaya (OKU) dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
- Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata sehingga 31 Oktober lalu seramai 681,074 OKU berjaya didaftarkan mengikut tujuh kategori ketidakupayaan berdasarkan janaan Sistem Pengurusan Maklumat OKU (SMOKU).
- “Pendaftaran itu bagi membolehkan mereka menikmati hampir 30 kemudahan dan keistimewaan yang disediakan oleh kerajaan dan swasta,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian Sambutan Hari OKU Kebangsaan 2023 di Hotel Riverside Majestic, di sini semalam.
Kuching: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) giat memperkasa kempen pendaftaran golongan orang kurang upaya (OKU) dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ia bagi memastikan golongan itu dapat menerima manfaat yang disediakan kerajaan dan swasta untuk mereka.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata sehingga 31 Oktober lalu seramai 681,074 OKU berjaya didaftarkan mengikut tujuh kategori ketidakupayaan berdasarkan janaan Sistem Pengurusan Maklumat OKU (SMOKU).
“Pendaftaran itu bagi membolehkan mereka menikmati hampir 30 kemudahan dan keistimewaan yang disediakan oleh kerajaan dan swasta.
“Bagi mempelbagaikan kemudahan dan keistimewaan yang disediakan untuk komuniti OKU, saya juga mencadangkan supaya masyarakat khususnya syarikat swasta menambah bilangan kemudahan dan keistimewaan yang sedia ada,” katanya.
Bagaimanapun katanya, beliau percaya masih ramai lagi yang tidak tahu atau belum membuat pendaftaran OKU.
Justeru, beliau menggesa semua peringkat lapisan masyarakat supaya membantu OKU berdaftar dengan JKM.
Turut hadir pada sambutan dengan tema ‘Membangun OKU Madani’ itu, Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Maziah Che Yusoff.
Sementara itu, Nancy berkata golongan OKU turut bersama menyumbang pandangan serta idea berhubung keperluan dalam semakan pindaan Akta OKU 2008 (Akta 685).
Menurutnya, bagi membolehkan suara golongan itu diterjemahkan dalam undang-undang.
“Ia selaras dengan objektif pindaan Akta OKU 2008 untuk memberi ruang dalam penambahbaikan penyampaian perkhidmatan kepada golongan OKU.
“KPWKM giat melaksanakan semakan terhadap Akta OKU 2008 bermula sejak awal tahun 2022.
“Sehingga 31 Oktober 2023, KPWKM membuat semakan terhadap Akta ini bersama golongan profesional termasuk ahli akademik, perundangan, wakil Persatuan OKU dan OKU sendiri berdasarkan pendekatan multi disiplin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perasmian Sambutan Hari OKU Kebangsaan 2023 di Hotel Riverside Majestic, di sini semalam.
Sumber: Harian Metro