Terkini
Rejim Israel minta Meta, TikTok turunkan kandungan berkaitan peperangan di Palestin
Syarikat induk bagi aplikasi Facebook iaitu Meta dan TikTok menerima lebih 8,000 permintaan daripada Israel untuk mengeluarkan kandungan berkaitan konflik peperangan di Palestin kerana didakwa melanggar dasar syarikat, menurut Pejabat Pendakwa Raya Israel.
- Syarikat induk Facebook iaitu Meta dan TikTok terima lebih 8,000 permintaan daripada Israel untuk keluarkan kandungan berkaitan konflik peperangan di Palestin kerana didakwa langgar dasar syarikat, menurut Pejabat Pendakwa Raya Israel.
- Agensi itu memaklumkan, lebih 94 peratus kandungan rentas laman sosial utama itu sudah dikeluarkan.
- Pejabat pendakwa Israel berkata, pihaknya meminta kandungan mencetuskan keganasan dan pengganas dibuang serta sebarang promosi kumpulan secara meluas ditetapkan sebagai pejuang, termasuk Hamas dan Jihad Islam.
- Pejabat itu minta supaya lagu yang memuji pejuang Hamas dan berfungsi sebagai runut bunyi ribuan video di TikTok diturunkan.
- TikTok memberitahu Forbes dasarnya adalah untuk keluarkan semua kandungan pro-Hamas sebaik sahaja dikenal pasti, termasuk turunkan video mainkan lagu itu.
WASHINGTON: Syarikat induk bagi aplikasi Facebook iaitu Meta dan TikTok menerima lebih 8,000 permintaan daripada Israel untuk mengeluarkan kandungan berkaitan konflik peperangan di Palestin kerana didakwa melanggar dasar syarikat, menurut Pejabat Pendakwa Raya Israel.
Agensi itu memaklumkan, lebih 94 peratus daripada kandungan merentas laman sosial utama itu sudah dikeluarkan.
Pejabat pendakwa Israel berkata, pihaknya sudah meminta supaya kandungan yang mencetuskan keganasan dan pengganas itu dibuang serta sebarang promosi kumpulan yang secara meluas ditetapkan sebagai pejuang, termasuk Hamas dan Jihad Islam.
Malah, pejabat itu juga meminta supaya lagu yang memuji pejuang Hamas dan berfungsi sebagai runut bunyi untuk ribuan video di TikTok untuk diturunkan.
TikTok memberitahu Forbes bahawa dasarnya adalah untuk mengeluarkan semua kandungan pro-Hamas sebaik sahaja ia dikenal pasti, termasuk menurunkan video yang memainkan lagu itu.
Dasar untuk mengurangkan kandungan yang melanggar berbeza di seluruh platform, tetapi aplikasi Google, TikTok dan Facebook semua melarang bahan yang mempromosikan atau dihasilkan oleh kumpulan pejuang, termasuk Hamas yang ditetapkan sedemikian oleh kerajaan Amerika Syarikat.
Selain itu, video yang mengandungi kandungan seperti keganasan atau kebencian terhadap individu atau kumpulan berdasarkan etnik, kewarganegaraan, bangsa atau agama juga diharamkan.
Hampir 60 peratus daripada 9,500 jumlah permintaan alih keluar kandungan daripada pejabat pendakwa raya ke laman sosial utama adalah kepada Facebook dan syarikat induk Instagram.
Berbanding di TikTok, permintaan untuk berbuat demikian adalah merangkumi sebanyak 26 peratus, menurut data yang disediakan oleh agensi itu.
Selain itu, terdapat 10 peratus daripada permintaan berkenaan pula ditujukan kepada X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter serta masing-masing lima peratus pada YouTube dan Telegram.
Agensi kerajaan itu memberitahu Forbes bahawa permintaan penyingkirannya kepada semua gergasi media sosial itu meningkat sebanyak 10 kali ganda sejak serangan mengejut oleh Hamas pada 7 Oktober lalu.
Sementara itu, jurucakap pejabat pendakwa raya, Hadar Katz berkata, terdapat cabaran besar untuk mengeluarkan kandungan seumpama itu di Telegram.
Katanya, Telegram yang digunakan oleh akaun berkaitan Hamas untuk berkongsi rakaman mengerikan dari serangan 7 Oktober dan perang berikutnya, nampaknya tidak memenuhi permintaannya dan terdapat cabaran besar dengan kerjasama mereka.
Sementara itu, pihak Meta, Telegram dan Twitter tidak memberikan sebarang kenyataan berkaitan hal berkenaan.
Tetapi, YouTube dan Google berkata, ia sudah melihat kemasukan kandungan yang melanggar pada platform sejak perang bermula.
“Berikutan serangan pejuang Hamas di Israel dan konflik yang semakin memuncak kini berlaku di Israel dan Gaza, kami sudah mengeluarkan puluhan ribu video berbahaya dan menamatkan ratusan saluran,” kata jurucakap Sarah Colvin Rowley.
Sumber: Berita Harian