Antarabangsa
Hukuman penjara 10 tahun menanti individu langgar kod pakaian Iran
Parlimen Iran meluluskan satu rang undang-undang kontroversi yang akan meningkatkan tempoh penjara dan denda bagi wanita dan gadis yang melanggar kod berpakaian yang ketat negara itu.
- Parlimen Iran meluluskan satu rang undang-undang kontroversi yang akan meningkatkan tempoh penjara dan denda bagi wanita dan gadis yang melanggar kod berpakaian yang ketat negara itu.
- Mereka yang berpakaian “tidak sesuai” boleh dihukum penjara hingga 10 tahun di bawah rang undang-undang itu.
- Ahli-ahli Parlimen Iran meluluskan “Rang Undang-Undang Hijab dan Kehormatan” pada Rabu dengan 152 undi menyokong, 34 undi menentang, dan tujuh undi berkecuali menurut Al Jazeera.
- Bagaimanapun ia masih perlu diluluskan oleh ‘Majlis Wali’ untuk menjadi undang-undang.
- Langkah itu dibuat setahun selepas protes meletus berikutan kematian dalam tahanan Mahsa Amini, yang ditahan oleh polis moral kerana didakwa memakai hijab dengan cara tidak sesuai.
PARLIMEN Iran meluluskan satu rang undang-undang kontroversi yang akan meningkatkan tempoh penjara dan denda bagi wanita dan gadis yang melanggar kod berpakaian yang ketat negara itu.
Mereka yang berpakaian “tidak sesuai” boleh dihukum penjara hingga 10 tahun di bawah rang undang-undang itu.
Ahli-ahli Parlimen Iran meluluskan “Rang Undang-Undang Hijab dan Kehormatan” pada Rabu dengan 152 undi menyokong, 34 undi menentang, dan tujuh undi berkecuali menurut Al Jazeera.
Bagaimanapun ia masih perlu diluluskan oleh ‘Majlis Wali’ untuk menjadi undang-undang.
Langkah itu dibuat setahun selepas protes meletus berikutan kematian dalam tahanan Mahsa Amini, yang ditahan oleh polis moral kerana didakwa memakai hijab dengan cara tidak sesuai.
Dalam demonstrasi itu, wanita membakar hijab mereka menentang pihak berkuasa dengan ratusan orang dilaporkan terbunuh dalam tindakan kekerasan oleh pasukan keselamatan.
Di bawah undang-undang Iran, yang berasaskan tafsiran syariah, wanita dan gadis di atas umur baligh mesti menutup rambut mereka dengan hijab dan memakai pakaian longgar untuk menyembunyikan bentuk tubuh mereka.
Mereka yang tidak mematuhi peraturan itu pada masa ini berdepan hukuman penjara antara 10 hari dan dua bulan atau denda antara 5,000 hingga 500,000 rial Iran.
Namun di bawah kanun keseksaan baharu, ia memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda antara 180 juta hingga 360 juta rial ($3,651-$7,302).
Rang undang-undang itu juga mencadangkan denda bagi mereka yang “mempromosikan kebogelan” atau “menghina hijab” dalam media dan rangkaian sosial, dan bagi pemilik kenderaan di mana pemandu atau penumpang wanita tidak memakai tudung atau pakaian yang sesuai, menurut Agensi Berita AFP.
Mana-mana individu yang mempromosikan pelanggaran kod pakaian “secara terancang” atau “dengan kerjasama kerajaan asing atau musuh, media, kumpulan atau organisasi” juga boleh dihukum penjara antara lima hingga 10 tahun, kata agensi itu.
Sumber: Utusan TV