Antarabangsa
Iran gantung perisik Mossad, Didakwa bocor maklumat saintis nuklear
- Lelaki berkenaan, Rouzbeh Vadi, dituduh menyerahkan maklumat sulit kepada perkhidmatan perisikan Israel, Mossad, termasuk maklumat yang berkaitan dengan seorang saintis nuklear Iran yang terbunuh dalam siri serangan Israel pada Jun lalu.
- Vadi didakwa telah bertemu pegawai Mossad sebanyak lima kali di Vienna, Austria, selepas direkrut melalui dalam talian.
TEHRAN — Iran melaksanakan hukuman mati terhadap seorang lelaki yang didakwa menjadi perisik untuk Israel dan membocorkan maklumat berkaitan saintis nuklear negara itu, menurut laporan media rasmi Iran semalam.
Lelaki berkenaan, Rouzbeh Vadi, dituduh menyerahkan maklumat sulit kepada perkhidmatan perisikan Israel, Mossad, termasuk maklumat yang berkaitan dengan seorang saintis nuklear Iran yang terbunuh dalam siri serangan Israel pada Jun lalu.
Menurut laporan agensi kehakiman Iran, Mizan, beliau dikatakan bekerja dalam sebuah organisasi penting dan sensitif di Iran.
Mizan melaporkan bahawa Vadi menjalani hukuman gantung pada Rabu selepas didapati melakukan pelbagai jenayah yang menjejaskan keselamatan dalaman dan luaran negara serta menyebabkan gangguan serius terhadap ketenteraman awam.
Vadi didakwa telah bertemu pegawai Mossad sebanyak lima kali di Vienna, Austria, selepas direkrut melalui dalam talian.
Hukuman mati ke atas rakyat Iran yang disabitkan bersalah menjadi perisik Israel meningkat ketara tahun ini, dengan sekurang-kurangnya lapan pelaksanaan hukuman mati dicatatkan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Iran sebelum ini telah berikrar akan mempercepatkan perbicaraan ke atas mana-mana individu yang disyaki bekerjasama dengan Israel, terutamanya selepas ketegangan memuncak susulan serangan berdarah Jun lalu.
Dalam insiden berasingan, Mizan turut melaporkan bahawa Iran menggantung seorang anggota kumpulan ISIL (ISIS), Mehdi Asgharzadeh, pada hari yang sama.
Beliau didakwa cuba melakukan sabotaj selepas menerima latihan ketenteraan di Syria dan Iraq sebelum memasuki Iran secara haram bersama empat individu lain yang terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Iran.
Menurut pihak berkuasa, hukuman ke atas kedua-dua individu itu telah disahkan oleh Mahkamah Agung Iran dan semua proses perundangan telah dipatuhi sepenuhnya sebelum pelaksanaan hukuman mati dilakukan. -The Merdeka Times