Antarabangsa
Langgar peraturan hijab, syarikat insurans Iran digantung operasi
Kerajaan Iran menggantung operasi sebuah syarikat insurans, Azki.com selepas tersiarnya foto pekerja wanitanya bergambar tanpa hijab dalam foto berkumpulan syarikat itu.
- Kerajaan Iran menggantung operasi sebuah syarikat insurans, Azki.com selepas tersiarnya foto pekerja wanitanya bergambar tanpa hijab dalam foto berkumpulan syarikat itu.
- Menurut laporan Iran International, Azki.com adalah syarikat pembrokeran insurans di Iran yang menjual kontrak insurans daripada syarikat insurans kerajaan.
- Kemunculan foto menunjukkan beberapa pekerja wanita tidak berhijab mengundang kemarahan media tegar yang menuntut kerajaan menutup syarikat itu kerana tidak mematuhi peraturan hijab wajib di Iran.
- Azki.com dalam kenyataan semalam menjelaskan penerbitan foto tanpa kebenaran itu tidak menggambarkan komitmennya dalam mematuhi undang-undang negara, termasuk peraturan hijab wajib.
Kerajaan Iran menggantung operasi sebuah syarikat insurans, Azki.com selepas tersiarnya foto pekerja wanitanya bergambar tanpa hijab dalam foto berkumpulan syarikat itu.
Menurut laporan Iran International, Azki.com adalah syarikat pembrokeran insurans di Iran yang menjual kontrak insurans daripada syarikat insurans kerajaan.
Kemunculan foto menunjukkan beberapa pekerja wanita tidak berhijab mengundang kemarahan media tegar yang menuntut kerajaan menutup syarikat itu kerana tidak mematuhi peraturan hijab wajib di Iran.
Azki.com mengeluarkan kenyataan semalam bahawa pihaknya terpaksa menggantung operasinya sementara menunggu siasatan pihak kerajaan.
Syarikat insurans itu menjelaskan penerbitan foto tanpa kebenaran itu tidak menggambarkan komitmennya dalam mematuhi undang-undang negara, termasuk peraturan hijab wajib.
Sejak kebelakangan ini, Iran menyaksikan semakin ramai wanita yang melanggar peraturan hijab dan tampil di khalayak ramai tanpa berhijab, terutama berikutan protes anti-kerajaan Iran.
Kerajaan pada mulanya teragak-agak untuk bertindak balas, bimbang akan tindak balas rakyat Iran, namun telah menghidupkan semula rondaan ‘polis moral’ di jalanan.
Rondaan polis moral itu akan menghentikan wanita tanpa hijab, menyoal siasat mereka dan mengenakan denda atau merujuk pelaku yang tidak mematuhi peraturan berhijab ke mahkamah.
Penggantungan Azki.com mengikuti tindakan penutupan Digikala, yang digelar sebagai Amazon Iran, pada 24 Julai atas sebab sama.
Pekerja wanita syarikat itu diambil gambar tanpa berhijab yang membawa kepada tuntutan golongan tegar untuk kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat itu dan kakitangannya.
Kedua-dua Azki.com dan Digikala antara syarikat yang menjadi sasaran kerajaan kerana didakwa melanggar peraturan hijab.
Sumber: Iran International