Terkini
Sultan Kedah titah jangan bangkit isu gugat perpaduan
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini bertitah agar umat Islam tidak membangkitkan isu-isu yang boleh menggugat perpaduan ummah.
- Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini bertitah agar umat Islam tidak membangkitkan isu-isu yang boleh menggugat perpaduan ummah.
- Sultan Sallehuddin bertitah, baginda mengharapkan umat Islam di Kedah khususnya sentiasa hidup bersatu padu dan menjaga keharmonian bersama.
- “Antara salah satu sebab perpecahan yang melanda masyarakat adalah ketidakmampuan dalam mengendalikan hawa nafsu serta tidak matang dalam memberikan tindak balas dalam perbezaan pendapat sehingga mudah melenting dan bergaduh sesama sendiri.
- “Walhal, pergaduhan ini ada yang berpunca daripada isu remeh-temeh,” titah baginda Sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah 1445 Hijrah/2023, di sini hari ini.
- Baginda turut menyeru agar umat Islam mengambil iktibar daripada kehidupan Rasulullah SAW serta berusaha sedaya upaya menyerap tingkah laku dan akhlak baginda agar tercerna dalam hidup uswah dan qudwah baginda yang sangat mulia.
ALOR SETAR – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini bertitah agar umat Islam tidak membangkitkan isu-isu yang boleh menggugat perpaduan ummah.
Sultan Sallehuddin bertitah, baginda mengharapkan agar umat Islam di negeri ini khususnya sentiasa hidup dalam keadaan bersatu padu dan menjaga keharmonian bersama.
“Antara salah satu sebab perpecahan yang melanda masyarakat adalah ketidakmampuan dalam mengendalikan hawa nafsu serta tidak matang dalam memberikan tindak balas dalam perbezaan pendapat sehingga mudah melenting dan bergaduh sesama sendiri.
“Walhal, pergaduhan ini ada yang berpunca daripada isu remeh-temeh,” titah baginda Sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah 1445 Hijrah/2023, di sini hari ini.
Baginda juga memberi peringatan agar rumah ibadat iaitu masjid tidak digunakan sebagai tempat untuk berpolitik kerana dikhuatiri menimbulkan perpecahan.
“Beta sama sekali tidak bersetuju dengan segelintir golongan yang tidak bertanggungjawab menggunakan platform masjid sebagai tempat untuk berpolitik dan menimbulkan kegawatan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam,” titah baginda.
Sultan Sallehuddin bertitah, bibit-bibit perpecahan dapat diatasi sekiranya semua umat Islam kembali kepada ajaran yang paling asas iaitu berpegang pada roh al-Quran.
“Hayatilah peringatan Allah menerusi Surah Ali Imran ayat 105 yang bermaksud “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar,” titah baginda.
Baginda turut menyeru agar umat Islam mengambil iktibar daripada kehidupan Rasulullah SAW serta berusaha sedaya upaya menyerap tingkah laku dan akhlak baginda agar tercerna dalam hidup uswah dan qudwah baginda yang sangat mulia.
“Semoga Allah sentiasa memayungi kehidupan kita dengan penuh keberkatan dan mendapat inayah dari-Nya. Kesemua ini dilaksanakan oleh baginda Rasulullah demi menjaga dan memupuk perpaduan serta menjauhi perpecahan ummah,” titah baginda.
Pada sambutan itu, Sultan Sallehuddin turut berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada cendekiawan syariah yang juga pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar.
Baginda turut berkenan menganugerahkan Masjid Ar Ramlah, Guar Chempedak di Jerai sebagai Masjid Terbaik kategori bandar serta Masjid Ar Rahman, Ayer Hitam, Jerlun (luar bandar).
Sumber: Utusan Malaysia