Terkini
CUEPACS tuntut siasatan penuh dakwaan menteri buat kecoh di KLIA, terkait pelawat China
CUEPACS menuntut siasatan penuh berkait isu yang tular seorang menteri didakwa membuat kecoh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
- CUEPACS tuntut siasatan penuh berkait isu tular seorang menteri didakwa membuat kecoh di KLIA, semalam.
- Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata jika dakwaan itu benar, pihak berkuasa dan kerajaan perlu menjalankan siasatan secara terperinci, lebih-lebih lagi kejadian didakwa membabitkan seorang menteri.
- “Tindakan itu didakwa dilakukan hanya kerana mahu menyelamatkan pelancong asing yang ditahan ketika mahu memasuki negara.
- “Sekiranya perkara itu benar-benar berlaku seperti yang didakwa, CUEPACS berasa amat kesal kerana ia membabitkan pelanggaran protokol keselamatan negara serta mengganggu tugas penjawat awam.
- “Sebagai individu yang bertaraf menteri, adalah tidak wajar beliau melakukan perkara seperti itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
KUALA LUMPUR: CUEPACS menuntut siasatan penuh berkait isu yang tular seorang menteri didakwa membuat kecoh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata jika dakwaan itu benar, pihak berkuasa dan kerajaan perlu menjalankan siasatan secara terperinci, lebih-lebih lagi kejadian didakwa membabitkan seorang menteri.
“Tindakan itu didakwa dilakukan hanya kerana mahu menyelamatkan pelancong asing yang ditahan ketika mahu memasuki negara.
“Sekiranya perkara itu benar-benar berlaku seperti yang didakwa, CUEPACS berasa amat kesal kerana ia membabitkan pelanggaran protokol keselamatan negara serta mengganggu tugas penjawat awam.
“Sebagai individu yang bertaraf menteri, adalah tidak wajar beliau melakukan perkara seperti itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Adnan berkata semua pihak termasuk pemimpin negara sewajarnya memberi kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa yang melaksanakan tugas.
“Tidak wajar kelakuan menceroboh itu dilakukan kerana ia jelas melanggar prosedur keselamatan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Sekiranya berlaku salah faham dalam proses penahanan pelancong terbabit, menteri itu boleh memberikan bantuan mengikut prosedur atau mendapatkan maklumat yang lebih jelas dahulu daripada pihak berkuasa di lapangan terbang,” katanya.
Justeru katanya, CUEPACS berharap satu siasatan penuh dilakukan oleh pihak berkuasa dan kerajaan dalam memastikan tindakan sama tidak berulang pada masa akan datang.
“Tiada individu yang lebih besar daripada undang-undang negara dan jika berlakunya perlanggaran undang-undang dalam hal ini, tindakan tegas wajar diambil oleh kerajaan bagi menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang.
“CUEPACS tidak mahu tugas yang dilaksanakan oleh penjawat awam bagi menjaga kedaulatan negara diganggu hanya kerana kepentingan peribadi pihak tertentu,” katanya.
Kata beliau, setiap tindakan yang dilakukan oleh penjawat awam sudah pasti berlandaskan undang-undang sedia ada.
Terdahulu, media melaporkan kejadian tular di media sosial mendakwa seorang menteri menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan seorang pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen.
Memetik laporan sebuah portal, menteri berkenaan ke KLIA apabila mendapat tahu mengenai kejadian itu dan memasuki dewan ketibaan KLIA tanpa memohon pas keselamatan.
Menurut portal itu, yang memetik sumber apabila tindakannya cuba dihalang, beliau didakwa menggunakan kuasa sebagai menteri termasuk memarahi Polis Bantuan KLIA dan pegawai imigresen.
Sumber: Berita Harian