Terkini
King Sing persoal pihak desak beliau letak jawatan menteri
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tiong King Sing berkata beliau tidak boleh memuaskan hati semua pihak susulan tindakannya berhubung isu kontroversi papan tanda, yang membawa kepada petisyen mendesak peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
King Sing, yang juga Ahli Parlimen Bintulu, turut meminta pihak terbabit memberitahu kepadanya kelemahan dan kesalahan yang perlu diperbetulkannya.
Beliau meminta orang ramai untuk berhenti mencetuskan cerita yang tidak tentu hujung dan pangkalnya.
“Itu biasalah, kita tak boleh puaskan hati semua orang…. dia suruh saya letak jawatan? Apa salah yang saya buat? Kita pun faham, dia pernah menjadi Timbalan Menteri….. tanya dia apa dia buat masa dia jadi Timbalan Menteri, apa sudah dia buat perubahan?,
“Apa dia buat untuk transformasi? Saya mengharapkan di Parlimen, anda (Ahli Parlimen) boleh memberikan sesuatu maklumat dan cadangan yang baik” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media hari ini.
Sebelum ini, King Sing membuat beberapa kenyataan berhubung isu papan tanda sehingga mengakibatkan pelbagai pihak di negara ini mendesaknya untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dengan segera.
Kenyataanya yang sebelum ini melabelkan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika mereka sedang menjalankan operasi pemeriksaan papan tanda yang tidak memaparkan bahasa Melayu di sekitar kawasan ibu negara termasuk di Pudu, Segambut dan Jalan Silang.
King Sing sebelum ini dilaporkan menegaskan penguatkuasaan peraturan mengenai papan tanda dwibahasa oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini telah mengakibatkan tindak balas emosi dan melampaui batas, malah tindakan itu dikatakan menimbulkan ketidakpuasan hati dan mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan pelancong antarabangsa.
Dia juga menyifatkan tindakan itu sebagai melampau itu bukan sahaja menyebabkan pelancong mempersoalkan keterbukaan dan keterangkuman Malaysia, tetapi beberapa pelawat antarabangsa turut bertanyakan kepada beliau sama ada Malaysia sebuah negara rasis atau ekstrem agama.
Mengulas mengenai perkara itu, King Sing tetap mempertahankan bahawa terdapat keperluan dalam mewujudkan papan tanda dwibahasa bagi memudahkan pelancong asing di Malaysia — The Merdeka Times