Antarabangsa
Pemimpin gereja Afrika tolak saranan pemimpin tertinggi gereja UK pro-LGBT
Ketua Biskop Anglikan Rwanda, Laurent Mbanda menuduh pemimpin tertinggi Gereja England, Justin Welby menyokong kolonialisme kerana mengkritik undang-undang anti-LGBTQ Uganda.
- Ketua Biskop Anglikan Rwanda, Laurent Mbanda menuduh pemimpin tertinggi Gereja England, Justin Welby menyokong kolonialisme kerana mengkritik undang-undang anti-LGBTQ Uganda.
- Justin Welby, yang juga Ketua Biskop Canterbury, dalam kenyataan Jumaat lalu, menyuarakan kebimbangannya terhadap Gereja Anglikan Uganda.
- Ia ekoran tindakan Gereja Anglikan Uganda menyokong akta anti-gay yang mengenakan hukuman berat seperti penjara seumur hidup dan hukuman mati bagi aktiviti homoseksual melampau.
- Welby meminta gereja serumpunnya itu menolak penggubalan undang-undang anti kelompok songsang itu atas dasar tiada justifikasi bagi kumpulan Anglikan menyokong dasar tersebut.
- “Kami berdoa bahawa dia (Welby) dan ketua-ketua lain di Gereja England bertaubat,” kata Ketua Biskop Uganda, Stephen Kaziimba.
Ketua Biskop Anglikan Rwanda, Laurent Mbanda menuduh pemimpin tertinggi Gereja England, Justin Welby menyokong kolonialisme kerana mengkritik undang-undang anti-LGBTQ Uganda.
Justin Welby, yang juga Ketua Biskop Canterbury, dalam kenyataannya Jumaat lalu, menyuarakan kebimbangannya terhadap Gereja Anglikan Uganda.
Ia ekoran tindakan Gereja Anglikan Uganda menyokong akta anti-gay yang mengenakan hukuman berat seperti penjara seumur hidup dan hukuman mati bagi aktiviti homoseksual melampau.
Welby meminta gereja serumpunnya itu menolak penggubalan undang-undang anti kelompok songsang itu atas dasar tiada justifikasi bagi kumpulan Anglikan menyokong dasar tersebut.
Welby telah menulis kepada Ketua Biskop Uganda, Stephen Kaziimba, menyatakan kesedihan dan kekecewaan berkenaan perkara itu.
Mbanda dalam maklum balasnya kepada surat itu berkata, adalah “malang” bila mana Welby tidak mengekspresikan “kesedihan dan kekecewaan sama terhadap krisis yang melanda kumpulan Anglikan pimpinannya”.
“Nampaknya sejarah penjajah dengan sikap merendah-rendahkan sesetengah wilayah dari utara hingga ke selatan dan Afrika khususnya, belum berakhir,” kata Mbanda dipetik RT.
Welby pada minggu lalu berkata seruan itu bukan bertujuan “menerapkan nilai Barat”, tetapi sebagai peringatan atas komitmen “menyantuni setiap individu dengan kasih sayang serta penghormatan selayaknya sebagai anak Tuhan”.
Kaziimba dalam makluk balasnya kepada Welby pada Jumaat lalu, menegaskan mereka “jelas” dengan sokongan undang-undang anti-gay itu.
“Kami berdoa bahawa dia (Welby) dan ketua-ketua lain di Gereja England bertaubat,” kata Kaziimba.
Kaziimba berkata 85 peratus ketua kumpulan Anglikan GAFCON (Global Anglican Future Conference) pada April lalu bersepakat untuk tidak mengiktiraf Ketua Biskop Canterbury itu, sebagai simbol persekutuan mereka.
Sumber: RT