Terkini
Kenakan sekatan rentas sempadan, larangan naiki penerbangan MAS ke atas Jocelyn Chia – NUFAM
Kerajaan Malaysia didesak mengenakan sekatan NTL (not to land) dan larangan menaiki semua penerbangan Malaysia Airlines (MAS) terhadap Jocelyn Chia sehingga pelawak komediri itu memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.
- Kerajaan Malaysia didesak mengenakan sekatan NTL (not to land) dan larangan menaiki semua penerbangan Malaysia Airlines (MAS) terhadap Jocelyn Chia sehingga pelawak komediri itu memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.
- Desakan itu disuarakan Sekretariat Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM), dalam kenyataan di Facebook pada Rabu, menegaskan individu dengan karakter sedemikian tidak layak mendarat di Malaysia yang indah dan damai.
- Kesatuan itu turut menyifatkan lawak dibuat Jocelyn menjijikkan di mana ia tidak sepatutnya dilakukan pelawak profesional.
- “Joceyln Chia sebagai pelawak komediri sudah melampaui batas apabila menyentuh isu MH370 secara sinis.
- “Dia secara langsung melukakan perasaan keluarga, anak-anak dan rakan-rakan yang masih bersedih atas kehilangan MH370,” kata Sekretariat NUFAM dalam kenyataan itu.
KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia didesak mengenakan sekatan NTL (not to land) dan larangan menaiki semua penerbangan Malaysia Airlines (MAS) terhadap Jocelyn Chia sehingga pelawak komediri itu memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.
Desakan itu disuarakan Sekretariat Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM), dalam kenyataan di Facebook pada Rabu, menegaskan individu dengan karakter sedemikian tidak layak mendarat di Malaysia yang indah dan damai.
Malah, kesatuan itu turut menyifatkan lawak dibuat Jocelyn menjijikkan di mana ia tidak sepatutnya dilakukan pelawak profesional.
NUFAM berkata seorang pelawak profesional tidak perlu menjadi terlalu terdesak mengubah sesuatu tragedi menjadi lawak ‘slapstick’ kerana ia hanya dilihat sebagai tindakan tidak profesional dan tidak sesuai.
“Tidak ada yang melucukan apabila ada keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam sebarang insiden penerbangan.
“Joceyln Chia sebagai pelawak komediri sudah melampaui batas apabila menyentuh isu MH370 secara sinis.
“Dia secara langsung melukakan perasaan keluarga, anak-anak dan rakan-rakan yang masih bersedih atas kehilangan MH370,” kata Sekretariat NUFAM dalam kenyataan itu.
NUFAM turut menyifatkan tindakan Jocelyn mengutuk Malaysia menunjukkan beliau mempunyai persamaan dengan seorang yang bersifat rasis.
Katanya, Jocelyn telah melukakan perasaan rakyat Malaysia dan Singapura sedangkan mereka sentiasa mengangkat keamanan, keharmonian dan mempunyai rasa hormat antara satu sama lain.
Sekretariat NUFAM berkata Kerajaan Malaysia sentiasa mempunyai hubungan yang kukuh dengan Singapura sebagai jiran rapat selama ini.
The Merdeka Times (TMT) pada kelmarin (7 Jun 2023) melaporkan pelawak komediri dari Singapura itu yang didakwa menghina Malaysia dengan membuat kenyataan tidak sensitif melibatkan insiden kehilangan MH370 dan merendahkan Malaysia yang dikategorikan sebagai negara membangun sedangkan Singapura menjadi negara dunia pertama.
Difahamkan, bekas peguam itu membuat ‘lawak’ tersebut ketika persembahannya di kelab Comedy Cellar di AS dan video persembahan itu tular di Twitter dan Tiktok serta dimuat naik di Instagramnya sendiri.
Pada 8 Mac 2014, pesawat Malaysia Airlines MH370 yang membawa 239 kru dan penumpang meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing, namun hilang daripada skrin radar kira-kira dua jam setelah berlepas.
Susulan insiden itu, operasi mencari membabitkan beberapa negara dijalankan di selatan Lautan Hindi, namun pesawat atau bangkainya tidak ditemukan. — The Merdeka Times
Sumber: Facebook National Union of Flight Attendants Malaysia – Nufam