Connect with us

Terkini

Emilia dilihat ketakutan, menangis dan mengadu dipukul – Polis

Seorang anggota polis peronda memberitahu Mahkamah Majistret di sini, hari ini, bahawa bekas isteri Datuk SM Faisal SM Nasimuddin, dilihat berada dalam keadaan ketakutan, menangis dan mengadu ahli perniagaan itu memukulnya di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas yang didiami pasangan itu, tujuh tahun lalu.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Emilia Hanafi kelihatan menangis
Foto: Emilia Hanafi.
  • Sarjan Saleh Omar Osman dari Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, berkata pada 22 November 2015, beliau menerima panggilan daripada pusat kawalan yang memaklumkan ada pergaduhan di rumah terbabit.
  • “Mangsa berada dalam ketakutan, menangis dan mengadu bahawa suaminya (sambil menunjukkan kepada lelaki itu) telah memukulnya. Lelaki itu hanya berdiam diri,” katanya.
  • Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aishah Ahmad Zakiuddin, saksi itu mengenal pasti lelaki berdiri di kawasan parkir itu adalah SM Faisal.

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis peronda memberitahu Mahkamah Majistret di sini, hari ini, bahawa bekas isteri Datuk SM Faisal SM Nasimuddin, dilihat berada dalam keadaan ketakutan, menangis dan mengadu ahli perniagaan itu memukulnya di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas yang didiami pasangan itu, tujuh tahun lalu.

Sarjan Saleh Omar Osman, 43, dari Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, berkata pada 22 November 2015, beliau menerima panggilan daripada pusat kawalan yang memaklumkan ada pergaduhan di rumah terbabit, lalu terus ke lokasi itu bersama rakan setugasnya.

Saksi keempat pendakwaan itu berkata, setiba di rumah berkenaan, pintu pagar didapati sudah terbuka dan beliau melihat seorang lelaki berdiri di kawasan parkir serta membenarkan mereka masuk.

“Rakan setugas saya bertanya kepada lelaki itu: ‘Ada apa-apa masalahkah, encik?’ dan lelaki itu menjawab: ‘Tiada apa-apa.’

“Mangsa berada dalam ketakutan, menangis dan mengadu bahawa suaminya (sambil menunjukkan kepada lelaki itu) telah memukulnya. Lelaki itu hanya berdiam diri,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes SM Faisal didakwa mencederakan Emilia Hanafi.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aishah Ahmad Zakiuddin, saksi itu mengenal pasti lelaki berdiri di kawasan parkir itu adalah SM Faisal.

Saleh berkata, beliau kemudian meminta mangsa membuat laporan di Balai Polis Sri Hartamas.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili SM Faisal, saksi itu bersetuju bahawa beliau tidak menangkap ahli perniagaan terbabit meskipun mempunyai kuasa untuk menahan mana-mana suspek yang disyaki melakukan jenayah.

Akberdin: Saya katakan kepada kamu Sarjan, kamu tidak menangkap dia walaupun kamu melihat mata dan tangan wanita itu lebam, kerana kamu telah membuat keputusan itu adalah masalah rumah tangga antara lelaki dan wanita. Sebab itu kamu tidak menangkap atau menahan suspek berkenaan

Saleh: Ya, setuju.

Bagaimanapun, saksi itu tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa pada hari kejadian, SM Faisal ada memberitahunya bahawa beliau telah diserang oleh isteri dan terpaksa mempertahankan diri menyebabkan mereka telah mengalami kecederaan.

SM Faisal, 43, berdepan dakwaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, 43, yang merupakan isterinya (ketika kejadian), di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, antara jam 12.30 tengah hari dan 4.30 petang 22 November 2015.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nadia Othman bersambung esok.

Sumber : BERNAMA

 

Author