Terkini
Padah pasang radio terlalu kuat, wanita dipukul jiran hingga patah tulang tangan
Seorang wanita Cina berusia 54 tahun mendakwa beliau dipukul jirannya hingga lebam dan patah tangan kanannya kerana memasang radio terlalu kuat.
- Seorang wanita Cina berusia 54 tahun mendakwa beliau dipukul jirannya hingga lebam dan patah tangan kanannya kerana memasang radio terlalu kuat.
- China Press melaporkan wanita itu tinggal bersendirian di pangsapurinya ketika insiden berlaku pada 17 Mei lalu.
- Insiden terbabit dikongsikan dalam sidang media wanita itu pagi ini yang ditemani Ketua Biro Aduan Parti Gerakan Selangor, Andy Lieng Hwa Ching.
- Hwa Ching berkata pihaknya akan membantu mangsa dan menyerahkan surat kepada Bahagian Siasatan Jenayah Bukit Aman menggesa polis mengambil tindakan secepat mungkin.
Puchong – Seorang wanita Cina berusia 54 tahun mendakwa beliau dipukul jirannya hingga lebam dan patah tangan kanannya kerana memasang radio terlalu kuat.
China Press melaporkan wanita itu tinggal bersendirian di pangsapurinya ketika insiden berlaku pada 17 Mei lalu.
Insiden terbabit dikongsikan dalam sidang media wanita itu pagi ini yang ditemani Ketua Biro Aduan Parti Gerakan Selangor, Andy Lieng Hwa Ching.
Wanita itu berkata, kira-kira jam 8 malam pada 17 Mei lalu, dia sedang membuat kerja rumah di pangsapurinya sambil memasang radio tetapi tidak perasan bunyi radio terlalu kuat.
Akibatnya, seorang jiran lelaki berusia 30-an dari unit bertentangan datang untuk memberi amaran kepadanya.
“Saya tidak memasang terlalu kuat sebelum ini, tetapi kali ini saya tidak sengaja memasang terlalu kuat. Lelaki itu menekan loceng pintu dan saya membuka pintu tanpa berfikir panjang,” katanya.
Selepas jirannya memberi amaran, wanita itu cuba menjelaskannya tetapi lelaki terbabit mula memukul lengan kanannya beberapa kali hinggalah teman wanita lelaki itu keluar dan menghalang.
“Saya pergi ke hospital untuk rawatan selepas itu dan lengan kanan saya lebam teruk. Selepas pemeriksaan X-ray, doktor mendapati tulang retak dan saya tidak dapat mengangkat tangan,” katanya.
Wanita itu berkata beliau telah membuat laporan polis.
Sementara itu, Hwa Ching berkata pihaknya akan membantu mangsa dan menyerahkan surat kepada Bahagian Siasatan Jenayah Bukit Aman menggesa polis mengambil tindakan secepat mungkin.
Sumber: China Press