Terkini
Biarkan Majlis Raja-Raja putuskan isu kalimah Allah, bukannya ahli politik
Isu kalimah Allah perlu diambil alih Majlis Raja-Raja Melayu selaku payung rakyat dan pelindung kepada kehidupan beragama di negara ini.

- Isu kalimah Allah perlu diambil alih Majlis Raja-Raja Melayu selaku payung rakyat dan pelindung kepada kehidupan beragama di negara ini.
- “Isu kalimah Allah bukanlah isu politik, ianya juga bukan isu yang berkait dengan segolongan daripada manusia. Tapi ia adalah isu agama yang sejak daripada dahulu lagi dipayungi oleh raja-raja dan Duli Yang Maha Mulia, Yang di-Pertuan Agong,” – Wakil ahli akademik, Profesor Dr Kamaruzzaman Yusoff.
- Beliau mengemukakan cadangan itu ketika berucap ringkas dalam Demonstrasi Membantah Penarikan Rayuan Kes Kalimah Allah di perkarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam hari ini.
- Pada 15 Mei lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia dilaporkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Isu kalimah Allah perlu diambil alih Majlis Raja-Raja Melayu selaku payung rakyat dan pelindung kepada kehidupan beragama di negara ini.
Demikian cadangan dikemukakan dalam Demonstrasi Membantah Penarikan Rayuan Kes Kalimah Allah di Shah Alam hari ini.
Profesor Dr Kamaruzzaman Yusoff yang mewakili kelompok akademik dalam demonstrasi bantahan itu berkata, ini kerana isu kalimah Allah bukan sekadar isu politik.

Foto: Demonstrasi Membantah Penarikan Rayuan Kes Kalimah Allah di Shah Alam.
“Isu kalimah Allah bukanlah isu politik, ianya juga bukan isu yang berkait dengan segolongan daripada manusia. Tapi ia adalah isu agama yang sejak daripada dahulu lagi dipayungi oleh raja-raja dan Duli Yang Maha Mulia, Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Beliau berkata isu sensitif itu tidak seharusnya diserahkan kepada ahli politik yang mempunyai kepentingan tertentu.
“Maka saya bagi pihak rakan akademik, mengajak dan menganjurkan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia, mengambil semula kuasa dan tanggungjawab ini untuk terus menjadi payung dan tidak menyerahkan urusan ini kepada orang-orang politik,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai untuk yakin dengan bidang kuasa Majlis Raja-Raja Melayu sebagai pelindung kepada hal-hal agama, terutama dalam kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan.
“Yakinlah, dengan keberanian dan kesungguhan kita semua menerima hakikat bahawa raja-raja Melayu dan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong adalah merupakan payung kepada rakyat.
“Sesungguhnya mereka lebih tahu dan maklum tentang apa yang sepatutnya menjadi perkara yang nak dijaga supaya Islam tetap kekal mantap dan utuh bersama-sama dengan Islam sebagai agama persekutuan, sekaligus membenarkan orang bukan Islam melaksanakan agama masing-masing tanpa ada had seperti dijelaskan dalam Perlembagaan (Persekutuan),” katanya.
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam hari ini menganjurkan Demonstrasi Membantah Penarikan Rayuan Kes Kalimah Allah bertempat di pekarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam selepas selesai solat Jumaat.
Selain Profesor Dr Kamaruzzaman, ada beberapa individu lain turut memberi ucapan ringkas mewakili organisasi masing-masing.
Antaranya Nazir Helmi selaku Ketua Penerangan Pemuda PAS, Kamal Shukri Abdullah Sani mewakili Majlis Perundingan Melayu (MPM), wakil Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dan lain-lain.
Demonstrasi ditangguhkan tepat jam 2.24 petang bagi mematuhi peraturan ditetapkan pihak keselamatan masjid.
Pada 15 Mei lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia dilaporkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran. – The Merdeka Times

You must be logged in to post a comment Login