Antarabangsa
(VIDEO) Imam masjid New Jersey ditikam ketika pimpin solat subuh
Seorang imam masjid ditikam ketika sedang mengimamkan solat subuh di New Jersey, Amerika Syarikat (AS).
Seorang imam masjid ditikam ketika sedang mengimamkan solat subuh di New Jersey, Amerika Syarikat (AS).
Memetik laporan beberapa portal antarabangsa, kejadian berlaku sekitar jam 5.30 pagi waktu tempatan di Masjid Omar yang terletak di Getty Avenue, Paterso Selatan.
Mengikut rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mangsa dikenali sebagai Imam Sayed Elnakib, 65, sedang memimpin solat subuh yang disertai kira-kira 200 jemaah.
Ketika bersujud, salah seorang jemaah yang berada di saf ketiga dilihat tidak turut bersujud bersama jemaah lain.
View this post on Instagram
Dia yang memakai baju panas berhud berwarna putih itu kemudian dilihat melangkah dua saf jemaah dihadapannya untuk mendekati mangsa dan langsung menikamnya di bahagian belakang.
Sejurus selepas itu, semua jemaah dilihat berhenti solat dan cuba menangkap suspek yang dilihat cuba melarikan diri.
Imam Sayed dibawa ke Pusat Perubatan Universiti St. Joseph untuk rawatan selepas itu.
Dia yang tercedera akibat dua tikaman di belakangnya itu kini dilaporkan dalam keadaan stabil.
Dalam satu klip video berasingan, suspek dilihat berjaya ditahan sekumpulan lelaki, dipercayai jemaah masjid yang memastikan dia tidak melarikan diri.
Menurut ahli kepimpinan masjid itu, suspek dikenali sebagai Serif Zorba, 32, pernah solat di masjid berkenaan bersama mereka sebelum ini walaupun bukan terdiri dari ahli komuniti masjid.
Serif yang merupakan warga Istanbul itu bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah melalui peguamnya pada petang Isnin.
Dia didakwa dengan percubaan membunuh tahap pertama, memiliki senjata tahap ketiga untuk tujuan menyalahi undang-undang dan memiliki senjata menyalahi undang-undang tahap keempat.
Bercakap melalui jurubahasa Turkiye, Serif berkata yang dia “tidak melakukan apa-apa”.
Dia ditahan tanpa jaminan dan akan dihadapkan ke mahkamah semula Khamis ini. – The Merdeka Times
Sumber: Fox News, ABC7 New York, CNN