Connect with us

Terkini

Projek Artikel 11: Jom Ziarah Gereja tidak wajar diteruskan – Takiyuddin

PAS menegaskan Projek Artikel 11 : Jom Ziarah yang diadakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak wajar diteruskan jika ia tidak mencapai hasrat dan mungkin meluaskan lagi jurang perbezaan antara kaum serta mengundang bantahan terbuka oleh masyarakat.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Projek Artikel 11: Jom Ziarah Gereja tidak wajar diteruskan – Takiyuddin
Foto: Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
  • PAS menegaskan Projek Artikel 11 : Jom Ziarah yang diadakan agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak wajar diteruskan jika ia tidak mencapai hasrat dan mungkin meluaskan lagi jurang perbezaan antara kaum serta mengundang bantahan terbuka oleh masyarakat.
  • “PAS gesa program tersebut tidak sekali-kali menjadi program Evangelisme dan juga tidak akan melibatkan belia-belia beragama Islam sebagaimana jaminan yang diberikan Menteri KBS Hannah Yeoh di Parlimen pada Selasa (14 Mac 2023). 
  • “Selain itu semua pihak termasuk Menteri berkenaan perlu akur kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan larangan tegas ditetapkan undang-undang terhadap penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam,” kata  Setiausaha Agungn PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Facebook pada Khamis.

KUALA LUMPUR – PAS menegaskan Projek Artikel 11 : Jom Ziarah yang diadakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak wajar diteruskan jika ia tidak mencapai hasrat dan mungkin meluaskan lagi jurang perbezaan antara kaum serta mengundang bantahan terbuka oleh masyarakat.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata PAS mengambil maklum mengenai projek itu yang dianjurkan Impact Malaysia, sebuah agensi di bawah KBS, yang melibatkan program Jom Ziarah rumah-rumah ibadat pelbagai agama yang bertujuan memberi pendedahan kepada pesertanya tentang aspek perbezaan agama di negara ini.

Beliau berkata pada asasnya PAS menyambut baik usaha mewujudkan persefahaman dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya di negara ini.

Bagaimanapun, PAS mengharapkan program itu tidak menjadi program Evangelisme (kegiatan menyampaikan maklumat mengenai gaya hidup yang berkait rapat dengan amalan Kristian) dan melibatkan belia Islam.

“PAS menggesa agar program tersebut tidak sekali-kali menjadi program Evangelisme dan juga tidak akan melibatkan belia-belia beragama Islam sebagaimana jaminan yang diberikan Menteri KBS Hannah Yeoh di Parlimen pada Selasa (14 Mac 2023). 

“Selain itu semua pihak termasuk menteri berkenaan perlu akur tentang kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan larangan tegas yang ditetapkan undang-undang terhadap penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam,” katanya di Facebook pada Khamis.

Takiyuddin berkata PAS turut kecewa apabila Hannah memetik kenyataan Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai sandaran atau justifikasi kepada program berkenaan menerusi jawapan beliau di Parlimen.

Katanya, kenyataan dipetik Hannah itu tidak menjelaskan konteks ia dibuat dan tiada penerangan tepat berhubung kenyataan itu sama ada oleh individu terbabit secara langsung atau pihak yang mewakili mereka.

“PAS ingin menyatakan apa yang paling penting difahami dalam hal ini adalah kenyataan-kenyataan itu dibuat dalam konteks semua bentuk hubungan, keterlibatan, lawatan atau sebagainya antara orang Islam dengan bukan Islam, baik secara individu atau kumpulan, hanya dibenarkan dalam perkara-perkara yang bukan ritual atau keagamaan.

“Ia bukan pula terbuka penyertaannya tanpa syarat, dan segala usaha mesti dibuat bagi memastikan syarat-syarat itu tidak dilanggar,” katanya.

Pada 13 Mac lalu, Impact Malaysia dilapor akan menganjurkan program Projek Artikel 11: ‘Ziarah Gereja’ di mana program itu mempelawa belia penganut agama selain Kristian untuk menyertainya (berdasarkan poster Impact Malaysia yang tular di media sosial).

Bagaimanapun, semakan The Merdeka Times pada hari berikutnya mendapati poster ‘Jom Ziarah Gereja’ yang tertera tulisan antara lain ‘TERBUKA KEPADA BELIA BUKAN KRISTIAN!’ telah dialih keluar dari akaun Instagram Impact Malaysia.

Manakala komen utama (pinned comment) bagi hantaran kenyataan media Impact Malaysia pada hari sama menyebut; “pendaftaran program Jom Ziarah ini hanya terbuka untuk peserta bukan-Muslim sahaja”.

Susulan kebimbangan dibangkitkan banyak pihak, Menteri KBS Hannah Yeoh menegaskan projek itu bukanlah untuk menyamaratakan mana-mana agama dan tidak akan melibatkan penyertaan belia Muslim.

Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan mengenai hak kebebasan beragama menyebut (1) tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

Fasal (4) pula menyebut Undang-undang Negeri, dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganuti agama Islam. — The Merdeka Times

Sumber: Facebook Takiyuddin Haji Hassan

Author