Connect with us

Terkini

Kerajaan dituntut tolak dokumen CSO ASEAN didakwa ‘kuda Trojan’ fahaman liberal antarabangsa

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor, Mohamed Sukri Omar
  • Dokumen “Advisory Paper to the Chair of ASEAN 2025 – Malaysia” dikemukakan gabungan Organisasi Masyarakat Sivil (CSO) ASEAN bukan sahaja tidak mencerminkan suara rakyat Malaysia, bahkan bertindak sebagai ‘kuda Trojan’ kepada fahaman liberal antarabangsa.

  • Demikian tegas Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor, Mohamed Sukri Omar membantah kandungan dokumen tersebut yang antaranya didakwa mencadangkan pemisahan agama daripada negara dan pelaksanaan undang-undang antidiskriminasi LGBTQIA+.

  • Dokumen itu bukan sahaja melampaui batas perlembagaan, malah menjadi wadah membawa masuk agenda ideologi asing yang bersifat sekular, liberal dan tidak berakar dari nilai agama, budaya dan sejarah Malaysia

KUALA LUMPUR — Dokumen “Advisory Paper to the Chair of ASEAN 2025 – Malaysia” dikemukakan gabungan Organisasi Masyarakat Sivil (CSO) ASEAN bukan sahaja tidak mencerminkan suara rakyat Malaysia, bahkan bertindak sebagai ‘kuda Trojan’ kepada fahaman liberal antarabangsa.

Demikian tegas Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor, Mohamed Sukri Omar yang membantah keras kandungan dokumen tersebut yang antaranya didakwa mencadangkan pemisahan agama daripada negara dan pelaksanaan undang-undang antidiskriminasi LGBTQIA+.

Istilah ‘kuda Trojan’ atau Trojan Horse difahamkan sering diguna dalam konteks moden untuk merujuk kepada penyusupan sesuatu — sama ada individu mahupun rancangan — ke dalam sesebuah organisasi dengan tujuan untuk menjatuhkannya dari dalam.

Menurut Mohamed Sukri, dokumen itu bukan sahaja melampaui batas perlembagaan, malah menjadi wadah membawa masuk agenda ideologi asing yang bersifat sekular, liberal dan tidak berakar dari nilai agama, budaya dan sejarah Malaysia.

“Ia secara terang cuba menggantikan nilai Islam dan kontrak sosial yang telah mendasari pembinaan negara ini dengan fahaman hak asasi tanpa batas, relativisme moral dan kebebasan yang terlepas daripada ikatan syariah.

“Malaysia bukan negara sekular. Islam bukan sekadar simbol, tetapi asas kepada pembentukan undang-undang, adat, dan peradaban kita.

“Usaha menyisih agama dari negara adalah satu bentuk penafian terhadap identiti negara, serta ancaman kepada keharmonian sosial yang telah dibina dengan susah payah sejak merdeka,” katanya dalam kenyataan kepada The Merdeka Times hari ini.

Mohamed Sukri berkata justeru pihaknya mencadangkan beberapa langkah strategik dan penyelesaian jangka panjang bagi menangani situasi itu, termasuk menuntut penolakan rasmi oleh Kerajaan Malaysia terhadap dokumen tersebut dalam semua forum ASEAN dan antarabangsa.

Katanya, Pemuda PAS Selangor juga mencadangkan penggubalan ‘Kerangka ASEAN Mengenai Kedaulatan Budaya dan Agama’, bagi melindungi negara-negara anggota daripada dipaksa menerima agenda asing yang bertentangan nilai tempatan.

Selain, mencadangkan penapisan dan pemantauan ketat terhadap pembiayaan asing terhadap NGO yang menjadi saluran penyebaran ideologi liberal-radikalis.

Semalam, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) turut membantah dokumen tersebut dan menyeru kerajaan, khususnya Perdana Menteri sebagai Pengerusi ASEAN 2025, menolak sekeras-kerasnya sebarang cadangan yang bercanggah Islam dan Perlembagaan Persekutuan serta menuntut seluruh umat Islam, termasuk NGO Islam, tokoh masyarakat dan ahli akademik bersatu menyuarakan penolakan terhadap dokumen tersebut.

Pada Februari lalu, laman web Pusat KOMAS telah memuat naik kenyataan media berbahasa Inggeris bertajuk, ‘Handover of the “Advisory Paper to the Chairperson of ASEAN and our Prime Minister of Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim” by the Committee of ASEAN Peoples’ @ASEAN 2025’.

Kenyataan itu menyatakan pada 3 Februari lalu, satu delegasi terdiri daripada 15 pemimpin CSO diketuai Pengerusi Penganjur, Jerald Joseph dari ASEAN Peoples @Asean2025 (ASEAN Peoples) telah bertemu Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Sri Amran Mohamed Zin dan menyerahkan Kertas Nasihat tersebut.

Ia turut melampirkan salinan Kertas Nasihat tersebut yang antara lain mencadangkan agar Negara-Negara Anggota ASEAN memisahkan agama daripada negara bagi memupuk sikap toleransi dan pendekatan inklusif serta mencegah ekstremisme agama. — The Merdeka Times

Author