Terkini
Jom Ziarah Gereja sebahagian ‘Projek Artikel 11’ dedah belia tentang agama pelbagai kaum
Program ‘Jom Ziarah Gereja’ yang tular di media sosial semalam adalah program di bawah ‘Projek Artikel 11’ diterajui Impact Malaysia, agensi di bawah kawal selia Kementerian Belia dan Sukan (KBS), bertujuan mendedahkan belia Malaysia tentang budaya dan kepercayaan pelbagai bangsa di negara ini.

- Program ‘Jom Ziarah Gereja’ yang tular di media sosial semalam adalah program di bawah ‘Projek Artikel 11′ diterajui Impact Malaysia, agensi di bawah kawal selia Kementerian Belia dan Sukan (KBS), bertujuan mendedahkan belia Malaysia tentang budaya dan kepercayaan pelbagai bangsa di negara ini.
- Impact Malaysia dalam kenyataan semalam berkata projek itu adalah sebahagian daripada inisiatif #MalaysiaInklusif juga bertujuan meningkatkan sifat inklusif melalui aktiviti lawatan dan kesukarelawanan di Lembah Klang.
- Projek Artikel 11 itu dilaksanakan melalui dua gerak kerja iaitu program Jom Ziarah atau lawatan ke rumah-rumah ibadat dan kedua; aktiviti kesukarelawanan anjuran pertubuhan berasaskan agama, dengan kedua-duanya bertujuan melihat persamaan nilai dan perbezaan agama.
- Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan beragama menyebut (1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya, yang merujuk kepada kawalan atau sekatan mengembangkan apa-apa doktrin atau kepercayaan kepada penganut Islam.
KUALA LUMPUR – Program ‘Jom Ziarah Gereja’ yang tular di media sosial semalam adalah program di bawah ‘Projek Artikel 11′ diterajui Impact Malaysia, agensi di bawah kawal selia Kementerian Belia dan Sukan (KBS), bertujuan mendedahkan belia Malaysia tentang budaya dan kepercayaan pelbagai bangsa di negara ini.
Impact Malaysia dalam kenyataan semalam berkata projek itu adalah sebahagian inisiatif #MalaysiaInklusif yang juga bertujuan meningkatkan sifat inklusif melalui aktiviti lawatan dan kesukarelawanan di Lembah Klang.
Katanya, #MalaysiaInklusif merupakan kempen berintegrasi ke arah objektif meningkatkan persefahaman belia Malaysia dari segi budaya pelbagai kaum dan agama dalam masyarakat majmuk di mana projek Artikel 11 itu dilaksanakan melalui dua gerak kerja.
“Pertama, lawatan menerusi program Jom Ziarah, di mana belia akan dapat menziarahi rumah ibadat yang berlainan daripada agama sendiri untuk tujuan melihat persamaan nilai dan perbezaan agama.
“Kedua, belia mengikuti aktiviti kesukarelawanan untuk membantu golongan rentan yang dianjurkan oleh pertubuhan kebajikan berasaskan agama, supaya belia dapat memahami bahawa semua agama mempunyai persamaan dari segi nilai murni dan menganjurkan inisiatif bersifat kebajikan,” katanya Impact Malaysia dalam kenyataan disiarkan di akaun Instragramnya itu.
Kenyataan Impact Malaysia dikeluarkan dan merujuk kepada kenyataan media sosial di akaun Facebook “Che’GuBard Original” petang semalam mengenai program “Projek Artikel 11” yang didakwa sebagai sebuah aktiviti “evangelist” atau dakwah ke arah agama Kristian.

Foto: Poster Projek artikel 11.
Impact Malaysia berkata Projek Artikel 11: Jom Ziarah Gereja dan Projek Artikel 11: Jom Ziarah Kuil Hindu masing-masing akan dijalankan pada 18 dan 19 Mac ini.
Kenyataan itu berkata projek yang akan diadakan pada 18 Mac ini merupakan lawatan ketiga dan lawatan sebelumnya adalah menerusi program Jom Ziarah Masjid.
“Ia diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan pada 4 Mac 2023 yang telah melibatkan 8 peserta berbangsa Cina dan India,” katanya.
Sementara itu, Program Jom Ziarah Gurdwara di Gurdwara Sahib Shah Alam pada 11 Mac lalu melibatkan tiga peserta berbangsa Cina.
Semakan The Merdeka Times semalam mendapati poster ‘Jom Ziarah Gereja’ yang tertera tulisan antara lain ‘TERBUKA KEPADA BELIA BUKAN KRISTIAN!’ telah dialih keluar dari akaun Instagram Impact Malaysia.
Manakala komen utama (pinned comment) bagi hantaran kenyataan media Impact Malaysia semalam menyebut; “pendaftaran program Jom Ziarah ini hanya terbuka untuk peserta bukan-Muslim sahaja”.

Foto: Tangkap layar dari IG impactmsia.
Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan mengenai hak kebebasan beragama menyebut (1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.
Fasal (4) pula menyebut Undang-undang Negeri, dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganuti agama Islam. – The Merdeka Times
