Terkini
Perlu libat LGBT untuk bertanding di Oscars 2024
Menjelang Anugerah Akademi ke-96 (Oscars 2024), penganugerahan bagi kategori Best Picture (Filem Terbaik) akan mengguna pakai garis panduan baharu yang menyebut perlu melibatkan golongan LGBT dalam keseluruhan pembikinan filem.
- Anugerah Akademi ke-96 (Oscars 2024) akan guna pakai garis panduan baharu bagi penganugerahan kategori Best Picture (Filem Terbaik).
- Garis panduan baharu itu menyebut perlu melibatkan golongan LGBT dalam keseluruhan pembikinan filem.
- Menurut laman web Oscars, piawaian itu direka untuk menggalakkan perwakilan saksama di dalam dan di luar skrin agar lebih mencerminkan kepelbagaian penonton yang menonton filem.
Menjelang Anugerah Akademi ke-96 (Oscars 2024), penganugerahan bagi kategori Best Picture (Filem Terbaik) akan mengguna pakai garis panduan baharu yang menyebut perlu melibatkan golongan LGBT dalam keseluruhan pembikinan filem.
Memetik laman web rasmi Oscars, terdapat tiga kategori piawaian yang perlu dicapai bagi melayakkan sesuatu filem bertanding untuk anugerah itu.
Piawaian A iaitu Perwakilan, Tema dan Naratif Di Dalam Skrin menyebut yang sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pelakon peranan kedua dan lebih kecil dipilih sekurang-kurangnya dua daripada kumpulan yang kurang diwakili, salah satunya LGBT.
Jalan cerita atau subjek utama filem pula perlu tertumpu kepada salah satu dari kumpulan tersebut.
Bagi Piawaian B iaitu Pasukan Projek dan Kepimpinan Kreatif pula menyebut sekurang-kurangnya dua daripada jawatan kepimpinan kreatif dan ketua jabatan perlu dipilih dari kumpulan tersebut.
Selain itu, sekurang-kurangnya 30 peratus dari keseluruhan krew perlu mewakili kumpulan tersebut.
Piawaian C pula menyentuh mengenai Akses dan Peluang Industri yang menyebut perlu melibatkan kumpulan tersebut dalam proses penerbitan, pengedaran, pembiayaan dan latihan untuk filem terbabit.
Akhir sekali, Piawaian D menyebut perlunya melibatkan kumpulan tersebut untuk mewakili filem dalam pemasaran, publisiti dan pengedaran.
Menurut akademi itu, piawaian ini direka untuk menggalakkan perwakilan saksama di dalam dan di luar skrin agar lebih mencerminkan kepelbagaian penonton yang menonton filem. – The Merdeka Times
Sumber: Oscars