Terkini
Kerajaan sedia dengar pandangan semua pihak tambah baik Belanjawan 2023 – PM
Kerajaan sedia mendengar pandangan semua pihak termasuk pembangkang yang mahu supaya Belanjawan 2023 diubah suai khususnya yang berkaitan program yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
- Kerajaan sedia mendengar pandangan semua pihak, termasuk pembangkang yang mahu supaya Belanjawan 2023 diubah suai khususnya berkaitan program yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata RUU Perbekalan 2023 atau Belanjawan 2023 yang kini dalam fasa perbahasan peringkat dasar di Dewan Rakyat mungkin ada bahagian yang belum sempurna.
- “Belanjawan tentunya tidak mungkin sempurna. Sebab itu kita dengar, baik pembangkang dan mana-mana gesaan dan pandangan yang munasabah, kita boleh terima dan ubah suai.
- “Kalau tidak tahun ini, tahun depan,” kata Anwar dalam ucapan pada Majlis Perhimpunan MOF bersama Menteri Kewangan dan Perdana Menteri di sini hari ini.
PUTRAJAYA : Kerajaan sedia mendengar pandangan semua pihak termasuk pembangkang yang mahu supaya Belanjawan 2023 diubah suai khususnya yang berkaitan program yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 atau Belanjawan 2023 yang kini dalam fasa perbahasan peringkat dasar di Dewan Rakyat mungkin ada bahagian yang belum sempurna.
“Belanjawan tentunya tidak mungkin sempurna. Sebab itu kita dengar, baik pembangkang dan mana-mana gesaan dan pandangan yang munasabah, kita boleh terima dan ubah suai.
“Kalau tidak tahun ini, tahun depan,” katanya yang turut memaklumkan akan menggulung RUU Perbekalan 2023 peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan (MOF) pada Khamis ini.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perhimpunan MOF bersama Menteri Kewangan dan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Menyentuh ikhtiar kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar menerusi Belanjawan 2023 yang dipersoal pihak tertentu kononnya tidak islamik dan praktikal, Anwar berkata ia satu pandangan yang mengelirukan.
“Ada yang menyanggah kononnya dalam Islam itu tidak ada kebenaran bahawa kita harus dan mampu membasmi kemiskinan. Kerana kalau tidak, zakat mahu bayar kepada siapa kalau tiada orang miskin.
“Ini pandangan yang amat mengelirukan. Kalau saya ketua pembangkang, saya gasak (jawab) besar (lebih) sikit. Tapi kerana Perdana Menteri (tidak boleh lakukan),” katanya.
Ketika membentangkan Bajet 2023 pada 24 Februari lalu, Anwar mengumumkan iltizam kerajaan menjadikan 2023 tahun menoktahkan kemiskinan tegar, menerusi pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang akan menumpukan kepada pengupayaan golongan miskin supaya meningkatkan potensi pendapatan.
Mengulas lanjut Anwar berkata, mengambil contoh pentadbiran dibawa Khalifah Umar Abdul Aziz, beliau sudah memulakan satu yang mengejutkan dalam pentadbirannya yang boleh dijadikan ikutan pada hari ini.
“Dia mewarisi satu politik yang stabil (tetapi) kalau kita ambil tindakan keras, (akan) pecah belah negara ini. Tanggungjawab pertama kerajaan adalah menjaga keamanan.
“Kestabilan politik adalah keutamaan, kemudian membangunkan negeri, barulah kita bertapak untuk mengambil tindakan pelaksanaan yang lain. Itu contoh tadbir urus dalam Islam oleh Umar Abdul Aziz,” katanya.
Sumber: Berita Harian