Connect with us

Terkini

Bajet 2023: Perlu tindakan radikal tingkat penguasaan ekonomi Bumiputera

Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memerlukan tindakan radikal bagi meningkatkan penguasaan ekonomi Bumiputera yang ingin melihat perubahan berdasarkan pemilihan mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Bajet 2023: Perlu tindakan radikal tingkat penguasaan ekonomi Bumiputera
Foto: Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman.
  • Ini kerana peruntukan besar pada agensi yang perjuangkan agenda Bumiputera sahaja tidak mencukupi. – Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman
  • “Negara perlukan satu kaedah baharu bagaimana belanjawan kali ini dapat beri kesan segera pada komuniti Bumiputera yang kini sudah jemu dengan slogan, namun gagal capai kejayaan diimpikan.”
  • “Kerajaan perlu kenal pasti pasaran atau peluang dalam sektor baharu mahupun berteknologi tinggi untuk bangunkan usahawan Bumiputera yang berdaya saing.”
  • “Gejala Ali Baba perlu dihapuskan dan rasuah perlu dinyahkan supaya ketirisan tidak berulang kerana tindakan itu jahanamkan agenda serta tingkatkan jurang kekayaan antara rakyat Malaysia,” katanya.

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memerlukan tindakan radikal bagi meningkatkan penguasaan ekonomi Bumiputera yang ingin melihat perubahan berdasarkan pemilihan mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman, berkata ini kerana peruntukan besar pada agensi yang memperjuangkan agenda Bumiputera sahaja tidak mencukupi.

Katanya, negara memerlukan satu kaedah baharu bagaimana belanjawan kali ini dapat memberi kesan segera pada komuniti Bumiputera yang kini sudah jemu dengan slogan, namun gagal mencapai kejayaan yang diimpikan.

“Kerajaan perlu mengenal pasti pasaran atau peluang dalam sektor baharu mahupun berteknologi tinggi untuk membangunkan usahawan Bumiputera yang berdaya saing.

“Ini penting supaya ekosistem perniagaan akan memastikan kemajuan dan peningkatan modal dan pembangunan kemampuan yang sebenarnya.

“Gejala Ali Baba perlu dihapuskan dan rasuah perlu dinyahkan supaya ketirisan tidak berulang kerana tindakan itu menjahanamkan agenda serta meningkatkan jurang kekayaan antara rakyat Malaysia,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat jam 4 petang ini. Ia belanjawan pertama akan dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan oleh pimpinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

Perdana Menteri pada 20 Disember lalu membentangkan peruntukan khas (bajet mini) di bawah Akta Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang berkuat kuasa 1 Januari 2023 bagi tujuan perbelanjaan perkhidmatan membabitkan wang sejumlah RM107,718,676,650.

Sebelum ini, Bajet 2023 disediakan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak sempat dibahas dan diluluskan, sebelum terbubarnya Parlimen pada 10 Oktober 2022 bagi memberi laluan untuk PRU15.

Dalam pada itu, Ahmad Yazid berharap sejajar aspirasi Madani, kerajaan tidak menjadikan pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebagai sasaran utama atau mengutamakan pelaburan asing atas kepentingan pelabur tempatan.

Sebaliknya, beliau meminta kerajaan terus memperjuangkan dasar meningkatkan gaji pekerja sebagai cara utama meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat.

“Galakan dalam bentuk dana atau pembebasan cukai untuk mengubah semula struktur ekonomi perlu diperkuatkan supaya setiap sektor tidak didominasi oleh mana-mana kumpulan, tetapi memacu pertumbuhan dan inovasi.

“Pengurangan dominasi mana-mana kaum dalam semua sektor juga mampu mengurangkan jurang kekayaan dalam kalangan Bumiputera mahupun bukan, di Sabah Sarawak serta Semenanjung.

“Oleh itu, walaupun belanjawan hanya sebagai peruntukan tahunan, ia perlu seiring dengan sasaran utama Rancangan Malaysia ke-12 dengan matlamat jelas yang boleh diukur,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *