Terkini
Sistem pendidikan negara perlu pembaharuan – Setiausaha Puteri UMNO
Sistem pendidikan negara memerlukan pembaharuan supaya tumpuan kaedah pengajaran bukan hanya semata-mata untuk melihat pelajar lulus peperiksaan.
- Sistem pendidikan negara diamalkan sejak lama bukan mendidik pelajar bagaimana berfikir, menganalisis dan keperluan selain akademik semata-mata. – Setiausaha Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan
- “Pendek kata, kita tidak didik rakyat Malaysia, tapi kita mengindoktrinasi mereka, dalam erti kata lain adalah ‘brainwash’.”
- “Namun ia perlukan seorang yang berani untuk perjuangkan pembaharuan sistem pendidikan kerana ada tentangan dari mereka merasakan bahawa pelajar tidak boleh berfikir tapi mesti diajar apa yang perlu difikirkan,” katanya.
KUALA LUMPUR: Sistem pendidikan negara memerlukan pembaharuan supaya tumpuan kaedah pengajaran bukan hanya semata-mata untuk melihat pelajar lulus peperiksaan.
Setiausaha Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan, berkata sistem pendidikan negara yang diamalkan sejak sekian lama bukan untuk mendidik pelajar bagaimana untuk berfikir, menganalisis dan keperluan selain akademik semata-mata.
“Untuk memahami mentaliti atau pandangan rakyat Malaysia mengenai pendidikan, kita hanya perlu melihat pada sistem sekolah memandu di Malaysia.
“Sekolah memandu di Malaysia tidak mengajar cara memandu, hanya mengajar bagaimana untuk lulus dalam ujian memandu.
“Disebabkan itu, purata yang terbabit dalam kemalangan sehingga mengakibatkan kematian sekitar 20 orang sehari di Malaysia, berbanding hanya empat orang di United Kingdom yang penduduknya dua kali ganda dari Malaysia pada nisbah 10 berbanding satu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Nurul Hazwani, keadaan itu sama juga dengan pendidikan akademik di Malaysia kerana tumpuan hanya diberikan untuk mengajar bagaimana mahu lulus peperiksaan.
“Pelajar bukan dididik bagaimana untuk berfikir, menganalisa, menilai dan lain-lain. Pendek kata, kita tidak mendidik rakyat Malaysia, tetapi kita mengindoktrinasi mereka, dalam erti kata lain adalah ‘brainwash’.
“Inilah sebabnya kenapa bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah berkata Malaysia negara dengan infrastruktur dunia pertama tetapi mempunyai mentaliti dunia ketiga,” katanya.
Beliau berpandangan, pelajar sepatutnya wajib dan digalakkan untuk bertanya soalan tidak kisah betapa sensitifnya soalan mereka.
Mereka juga, katanya, mesti digalakkan untuk tidak bersetuju sama ada ia membabitkan politik, agama, dasar kerajaan, dasar luar, program sosial atau apa saja.
“Pada tahun 1960-an, institusi pendidikan di Malaysia ada menganjurkan sesi ‘mock Parliament’ atau sidang Parlimen olok-olok di mana pelajar memainkan watak Ahli Parlimen dalam persidangan.
“Mereka dibahagikan kepada dua blok, iaitu Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. Mereka membahaskan pelbagai isu antaranya isu politik, sosial dan ekonomi,” tambahnya.
Nurul Hazwani yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Seputeh, berkata pelajar juga wajib dididik mengenai Perlembagaan Malaysia serta maksud dalam setiap Perlembagaan itu.
“Tidak akan ada negara yang boleh berjaya sehingga yang pertama, kita memperbaharui minda rakyat negara itu dan ia haruslah bermula dari mereka kecil terutama yang berusia tujuh tahun.
“Pada masa kanak-kanak itu meningkat ke umur 17 tahun, apa saja yang diajar kepadanya selama 10 tahun itu akan membentuknya.
“Tidak ada sesiapa dalam dunia ini dilahirkan kurang pandai, lemah dan lain-lain. Mereka sebenarnya kurang diberi perhatian terutama dari segi pelajaran yang boleh menyebabkan mereka tercicir,” katanya.
Nurul Hazwani yang menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Puteri UMNO pada pemilihan parti Mac depan, percaya perubahan terhadap sistem pendidikan negara boleh dilaksanakan.
“Namun ia memerlukan seorang yang berani untuk memperjuangkan pembaharuan sistem pendidikan kerana akan ada tentangan daripada mereka yang merasakan bahawa pelajar tidak boleh berfikir tetapi mesti diajar apa yang perlu difikirkan,” katanya.
Sumber: Berita Harian