Terkini
Jurulatih bangkit perkauman, BAM gesa CBA ambil tindakan
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggesa Persatuan Badminton China (CBA) mengambil tindakan ke atas seorang rakyat Malaysia yang kini berkhidmat sebagai jurulatih di negara berkenaan susulan kenyataannya yang berbaur perkauman dan menyentuh sensitiviti agama.
- BAM akan menghantar aduan rasmi kepada CBA untuk tindakan lanjut. Komen-komen yang memecah belahkan seperti ini tidak mempunyai tempat dalam masyarakat terutamanya di negara kita dan tidak boleh dibiarkan.
- “Persatuan mengutuk sekeras-kerasnya bentuk diskriminasi dan akan menggesa CBA mengambil tindakan terhadap individu ini. Individu rasis seperti itu tidak sepatutnya diambil sebagai jurulatih dalam sukan yang sangat digemari jutaan peminat yang berbilang bangsa dan agama,” kata kenyataan itu.
- BAM turut menegaskan, semua ahli gabungan badan induk itu tidak akan menerima individu berkenaan terbabit dalam sukan badminton di Malaysia.
KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggesa Persatuan Badminton China (CBA) mengambil tindakan ke atas seorang rakyat Malaysia yang kini berkhidmat sebagai jurulatih di negara berkenaan susulan kenyataannya yang berbaur perkauman dan menyentuh sensitiviti agama.
Sambil mengecam sekeras-kerasnya kenyataan perkauman dibuat individu berkenaan, BAM dalam satu kenyataan hari ini turut memaklumkan akan menghantar aduan rasmi kepada CBA untuk tindakan lanjut.
“BAM benar-benar terkejut dan akan memanjangkan isu ini termasuk menghantar aduan rasmi kepada CBA. Komen-komen yang memecah belahkan seperti ini tidak mempunyai tempat dalam masyarakat terutamanya di negara kita dan tidak boleh dibiarkan.
“Persatuan mengutuk sekeras-kerasnya segala bentuk diskriminasi dan akan menggesa CBA mengambil tindakan yang perlu terhadap individu ini. Individu rasis seperti itu tidak sepatutnya diambil sebagai jurulatih dalam sukan yang sangat digemari jutaan peminat yang berbilang bangsa dan agama,” kata kenyataan itu.
BAM turut menegaskan, semua ahli gabungan badan induk itu tidak akan menerima individu berkenaan terbabit dalam sukan badminton di Malaysia.
Baru-baru ini, tular di media sosial, seorang individu yang dilaporkan bekas pemain percubaan pelapis BAM, Bong Guang Yik bertindak mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.
Dalam video itu, Guang Yik yang kini dilaporkan menjadi jurulatih badminton di China mendakwa pengurusan BAM yang majoritinya orang Melayu menjadi punca kejatuhan prestasi sukan itu.
Katanya, orang-orang Melayu tidak menguruskannya dengan sempurna lebih-lebih lagi kerap meninggalkan latihan ataupun pengurusan setiap kali waktu solat.
Sumber: Berita Harian