Terkini
Bersatu sedia tawar jawatan MB Negeri Sembilan kepada KJ
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan bersedia menawarkan jawatan Menteri Besar kepada bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sekiranya beliau mahu bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu di bawah tiket Bersatu.
- Soal menteri besar adalah persoalan kecil kerana paling penting adalah pastikan kemenangan pada Bersatu dan PN. – Pengerusi Bersatu, Datuk Eddin Syazlee Shith
- “Bagi saya itu adalah persoalan kecil kerana pentingnya kita nak memastikan kemenangan dan semestinya siapa saja yang dirasakan ada nilai dan difikirkan sesuai oleh Presiden, jadi dia boleh jadi menteri besar. Itu kita serah pada pucuk pimpinan,”
- Beliau turut mengakui sekiranya bekas Ketua Pemuda UMNO itu sertai Bersatu, ia dapat beri nilai tambah pada parti terbabit.
- “Semua sedia maklum kekuatan yang ada pada Khairy sebagai seorang pemimpin,” katanya.
SEREMBAN – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan bersedia menawarkan jawatan Menteri Besar kepada bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sekiranya beliau mahu bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu di bawah tiket Bersatu.
Pengerusinya, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, soal menteri besar adalah persoalan kecil kerana paling penting adalah memastikan kemenangan kepada Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
“Kalau KJ (Khairy) sertai Bersatu dan bertanding di Negeri Sembilan, kita tiada masalah untuk tawarkan dia kerusi menteri besar.
“Bagi saya itu adalah persoalan kecil kerana pentingnya kita nak memastikan kemenangan dan semestinya siapa saja yang dirasakan ada nilai dan difikirkan sesuai oleh Presiden, jadi dia boleh jadi menteri besar. Itu kita serah pada pucuk pimpinan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau turut mengakui sekiranya bekas Ketua Pemuda UMNO itu menyertai Bersatu, ia dapat memberi nilai tambah kepada parti terbabit.
Ini kerana katanya, semua sedia maklum kekuatan yang ada pada Khairy sebagai seorang pemimpin.
“Tapi sehingga kini kita tak tahu status sebenar KJ (selepas dipecat dari UMNO),” katanya.
Bagaimanapun beliau yang merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan berkata, sehingga kini PN atau Bersatu negeri masih belum mengadakan sebarang pertemuan rasmi dengan Khairy.
Tambahnya, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk berbincang dengan Khairy.
“Kita tak mahu terlalu ramai pergi jumpa, takut nanti ada perkara yang tak selari.
“Jadi kita serah pada pucuk pimpinan saja dan jika ada arahan susulan kita akan ikut,”katanya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Khairy menyatakan berminat untuk bertanding dalam PRN Selangor dan mendakwa beberapa tawaran telah dibuat kepadanya, termasuklah jawatan Menteri Besar sekiranya menang.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan parti politik mana yang menawarkan jawatan itu.
Bagaimanapun Timbalan Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Zulkafperi Hanapi memberitahu, Bersatu negeri itu tidak membuat sebarang pelawaan kepada Khairy untuk menjadi calon dan ditawarkan jawatan Menteri Besar.
“Saya tidak tahu sekiranya pimpinan atas beri tawaran (kepada Khairy) tetapi di peringkat (Bersatu) Selangor tiada pelawaan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian