Connect with us

Terkini

Tabung Haji rugi RM1.961 juta angkara scam

Lembaga Tabung Haji (TH) mengalami kerugian sebanyak RM1.961 juta akibat aktiviti penipuan dalam talian (scam).

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Tabung Haji rugi RM1.961 juta angkara scam
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, TH harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap isu kehilangan wang pendeposit yang berpunca daripada aktiviti penipuan dalam talian (scam).
  • Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat dan TH turut cadangkan tanggungjawab harus diambil pihak bank yang jadi perantara dalam urusan TH kerana urusan pengeluaran wang simpanan menggunakan perbankan konvensional bukannya melalui TH sendiri.
  • “TH dan bank perantara perlu meningkatkan aspek keselamatan dari segi urusan perbankan dalam talian. Dicadangkan juga syarat-syarat pengeluaran wang secara dalam talian diperketatkan sama seperti agensi lain yang dibuat Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam urusan jual beli Amanah Saham Bumiputera.”

SHAH ALAM – Lembaga Tabung Haji (TH) mengalami kerugian sebanyak RM1.961 juta akibat aktiviti penipuan dalam talian (scam).

Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, TH harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap isu kehilangan wang pendeposit yang berpunca daripada aktiviti penipuan dalam talian (scam).

“Hasil mesyuarat bersama antara Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat dan TH telah memutuskan bahawa kehilangan wang semasa proses dan interaksi pengeluaran wang (debit) dalam akaun TH adalah tertakluk kepada faktor kesiagaan bank berkenaan.

Menurut beliau, aspek kompensasi kepada mangsa penipuan hendaklah diuruskan melalui polisi insuran perbankan itu sendiri.

“Jawatankuasa memutuskan adalah menjadi tanggungjawab utama bank berkenaan agar pendeposit tidak hilang keyakinan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Rais, jawatankuasa itu turut mencadangkan agar tanggungjawab harus diambil oleh pihak bank yang menjadi perantara dalam urusan TH kerana urusan pengeluaran wang simpanan menggunakan perbankan konvensional dan bukannya melalui TH itu sendiri.

“Pihak bank yang bertanggungjawab wajib menentukan kaedah dan jumlah ganti rugi sekiranya syarat-syarat pengawasan perakaunan bank tersebut telah dibolosi.

“Jawatankuasa turut mencadangkan agar pihak TH memberi peluang kepada pendeposit TH untuk membuat pilihan sama ada urusan simpanan dan pengeluaran dibuat secara manual atau secara dalam talian,” katanya

Rais berkata, TH juga perlu memperhebatkan lagi hebahan media kempen kesedaran penipuan dalam talian kepada masyarakat.

Katanya, kempen tersebut boleh dihebahkan menerusi media sosial, cetak dan penyiaran.

“TH dan bank perantara perlu meningkatkan aspek keselamatan dari segi urusan perbankan dalam talian. Dicadangkan juga agar syarat-syarat pengeluaran wang secara dalam talian diperketatkan sama seperti agensi lain seperti yang dibuat oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam urusan jual beli Amanah Saham Bumiputera.

Kata Rais lagi, TH juga perlu menyediakan laporan atau penyata ganti rugi yang diberikan kepada mangsa penipuan khususnya berkaitan dengan TH agar masalah tersebut dapat dipantau dari semasa ke semasa.

“Keputusan mesyuarat jawatankuasa ini akan diusulkan dalam sidang Dewan Negara akan datang agar isu dan permasalahan yang dihadapi rakyat mendapat perhatian yang sewajarnya,” ujarnya.

Sumber : Sinar Harian

 

 

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *