Terkini
OPR kekal 2.75 peratus jika kadar inflasi terus reda – Rafizi
OPR berpotensi kekal pada paras 2.75 peratus jika kadar inflasi di negara ini terus mereda pada bulan-bulan akan datang
- OPR berpotensi kekal pada paras 2.75 peratus jika kadar inflasi di negara ini terus mereda pada bulan-bulan akan datang, demikian pandangan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
- Berdasarkan perangkaan semasa, kadar inflasi di negara ini sudah mereda dengan mencatatkan kadar 3.8 peratus pada Disember 2022.
- Faktor yang memacu inflasi dalam pasaran tempatan adalah sebahagian besarnya disumbangkan harga makanan, yang mana orang membeli makanan di luar.
PUTRAJAYA: Kadar Dasar Semalaman (OPR) berpotensi kekal pada paras 2.75 peratus jika kadar inflasi di negara ini terus mereda pada bulan-bulan akan datang, demikian pandangan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Beliau berkata, secara teori, bank pusat akan menggunakan dasar monetari iaitu menerusi OPR untuk mengekang tekanan kenaikan inflasi dalam pasaran tempatan, dengan jangkaan pengguna akan kurang berbelanja dan sekaligus akan meredakan peningkatan pantas inflasi dipacu permintaan.
Katanya, berdasarkan perangkaan semasa, kadar inflasi di negara ini sudah mereda dengan mencatatkan kadar 3.8 peratus pada Disember 2022.
Malah, jelasnya, bagi keseluruhan 2022, kadar inflasi Malaysia adalah 3.3 peratus, yang sejajar dengan unjuran oleh Kementerian Kewangan dalam Laporan Tinjauan Ekonomi 2023.
Katanya, faktor yang memacu inflasi dalam pasaran tempatan adalah sebahagian besarnya disumbangkan harga makanan, yang mana orang membeli makanan di luar.
“Kalau kita tengok kepada angka inflasi, yang paling utama memacu inflasi adalah barang makanan siap yang kita beli di luar sama ada di restoran atau di hotel.
“Jika OPR pada paras 2.75 peratus dan kadar inflasi terus mereda pada Januari dan Februari, itu akan menunjukkan OPR boleh kekal pada 2.75 peratus,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada minggu lalu telah membuat keputusan mengejut dengan mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus selepas empat kenaikan secara berturut-turut.
Bank pusat sudah menaikkan OPR empat kali berturut-turut bermula Mei, Julai, September dan November lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.
Keputusan MPC mengekalkan penanda aras pinjaman itu adalah luar jangkaan susulan sebahagian besar penganalisis menjangkakan kenaikan ke paras sebelum pandemik iaitu kenaikan 0.25 peratus lagi.
Dengan langkah terkini BNM mengekalkan OPR pada 2.75 peratus, terdapat penganalisis menjangkakan bank pusat itu berkemungkinan meneruskan pendirian berkenaan untuk mengekalkan OPR pada paras itu berikutan keredaan kenaikan pantas inflasi dan tinjauan ekonomi global yang semakin kurang memberangsangkan.
Sumber: Berita Harian