Terkini
Semua ahli parlimen digesa sokong siasatan Network School – BDS Malaysia
- Semua Ahli Parlimen tanpa mengira fahaman politik digesa menyokong siasatan menyeluruh dan telus terhadap projek Network School di Forest City, Johor, susulan kebimbangan mengenai kemungkinan wujud kepentingan yang dikaitkan dengan Israel.
- “Solidariti Malaysia yang tidak berbelah bahagi terhadap Palestin mesti dicerminkan bukan sahaja melalui kata-kata, tetapi juga menerusi dasar, institusi dan penentangan teguh terhadap sebarang cubaan normalisasi. Keadilan untuk Palestin memerlukan kewaspadaan di dalam negara, selain solidariti di luar negara,” – BDS Malaysia
KUALA LUMPUR – Semua Ahli Parlimen tanpa mengira fahaman politik digesa menyokong siasatan menyeluruh dan telus terhadap projek Network School di Forest City, Johor, susulan kebimbangan mengenai kemungkinan wujud kepentingan yang dikaitkan dengan Israel.
BDS Malaysia berkata, solidariti teguh Malaysia terhadap Palestin tidak seharusnya diterjemahkan melalui kenyataan semata-mata, sebaliknya perlu dicerminkan dalam dasar, institusi dan penolakan konsisten terhadap sebarang usaha normalisasi dengan Israel.
“Kami turut menggesa semua Ahli Parlimen, tanpa mengira fahaman politik, menyokong penelitian menyeluruh dan telus terhadap perkara ini.
“Solidariti Malaysia yang tidak berbelah bahagi terhadap Palestin mesti dicerminkan bukan sahaja melalui kata-kata, tetapi juga menerusi dasar, institusi dan penentangan teguh terhadap sebarang cubaan normalisasi.
“Keadilan untuk Palestin memerlukan kewaspadaan di dalam negara, selain solidariti di luar negara,” menurut kenyataan itu.
BDS Malaysia pada masa sama menyambut baik komitmen Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menyiasat sendiri kebimbangan yang dibangkitkan berhubung projek Network School.
Pertubuhan itu menghargai tindakan segera Syed Saddiq dalam memberikan respons terhadap kebimbangan orang ramai serta pengiktirafannya bahawa isu berkenaan wajar diberikan perhatian di Parlimen.
Menurut BDS Malaysia, langkah itu mencerminkan peranan penting wakil rakyat dalam memastikan ketelusan, kebertanggungjawaban dan keyakinan awam terus terpelihara.
BDS Malaysia berkata, Malaysia sejak sekian lama mengambil pendirian berprinsip dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin serta menentang tindakan Israel yang disifatkan pertubuhan itu sebagai pendudukan, apartheid dan genosid.
Sehubungan itu, sebarang dakwaan mengenai kemungkinan kemasukan, pemudahan atau normalisasi kepentingan yang mempunyai kaitan dengan Israel di Malaysia perlu diteliti secara berhati-hati demi kepentingan negara.
Pertubuhan itu turut menggesa kementerian dan agensi kerajaan berkaitan memberikan penjelasan sepenuhnya mengenai projek Network School.
Penjelasan berkenaan perlu merangkumi maklumat mengenai pelabur, rakan kerjasama, peserta, proses pengambilan serta sebarang hubungan secara langsung atau tidak langsung dengan individu, entiti atau institusi Israel.
Menurut BDS Malaysia, keyakinan rakyat hanya dapat dikekalkan melalui keterbukaan dan kebertanggungjawaban pihak yang terlibat.
“Sebarang dakwaan yang mencadangkan kemungkinan kemasukan, pemudahan atau normalisasi kepentingan berkaitan Israel di Malaysia wajar diteliti dengan cermat demi kepentingan negara,” katanya.
BDS Malaysia menegaskan penelitian terhadap isu Network School tidak seharusnya dilihat sebagai isu kepartian, sebaliknya melibatkan pendirian dasar luar, kepentingan nasional serta komitmen Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.-The Merdeka Times