Terkini
Network School Forest City: Johor mahu identiti peserta, Penggunaan pasport kedua disiasat
- “Saya menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan negeri ini sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan dan kepentingan Johor serta Malaysia,” – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi
- Jelas beliau, sekiranya siasatan mendapati wujud pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas, pelanggaran syarat lesen atau syarat tanah, atau sebarang unsur yang boleh menjejaskan kepentingan negeri serta keselamatan negara, Kerajaan Negeri menggesa agar tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa tanpa sebarang kompromi.
JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap operasi Network School di Forest City susulan kebimbangan masyarakat, termasuk dakwaan terdapat warga Israel menyertai program berkenaan dengan menggunakan pasport negara kedua.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri mengambil maklum dan memandang serius kebimbangan yang dibangkitkan mengenai operasi komuniti berkenaan.
Beliau menegaskan Johor tidak akan membenarkan mana-mana pihak menggunakan negeri itu sebagai tapak untuk membawa masuk ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan Johor dan Malaysia.
Sehubungan itu, kerajaan negeri meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan agensi keselamatan berkaitan menjalankan semakan serta siasatan terhadap individu yang terlibat.
Siasatan itu termasuk mengenal pasti identiti dan kewarganegaraan mereka, dokumen perjalanan serta penggunaan pasport kedua, jenis pas dan tujuan kemasukan ke Malaysia.
Pihak berkuasa turut diminta menyemak sama ada tujuan kemasukan yang diisytiharkan kepada pihak imigresen selaras dengan aktiviti sebenar yang dijalankan di Forest City.
Pada masa sama, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Digital serta agensi kawal selia berkaitan telah diminta menentukan status sebenar operasi Network School.
Semakan itu juga bertujuan memastikan sama ada program yang dijalankan memerlukan pendaftaran atau kelulusan tertentu mengikut undang-undang negara.
Di peringkat negeri, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor serta agensi berkaitan akan menyemak semula semua aspek pematuhan yang berada di bawah bidang kuasa masing-masing.
Antara perkara yang akan diperiksa ialah syarat lesen premis, penggunaan bangunan, syarat nyata dan syarat khas tanah, kemudahan penginapan, aktiviti perniagaan serta keperluan undang-undang dan peraturan lain yang sedang berkuat kuasa.
Onn Hafiz berkata, tindakan tegas perlu diambil tanpa kompromi sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas, pelanggaran syarat lesen atau syarat tanah.
Tindakan sama turut perlu dikenakan sekiranya terdapat sebarang unsur yang boleh menjejaskan kepentingan Johor atau keselamatan negara.
“Kerajaan Negeri akan terus bertindak secara bertanggungjawab serta berlandaskan undang-undang demi melindungi kepentingan negeri dan mempertahankan kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan media berhubung isu Network School di Forest City.
Setakat ini, dakwaan mengenai penglibatan warga Israel menggunakan pasport negara kedua masih belum disahkan dan tertakluk kepada hasil semakan serta siasatan pihak berkuasa.-The Merdeka Times