Terkini
Network School : Pelaburan Teknologi tidak boleh atasi keselamatan negara – MAPIM
- “Malaysia tidak boleh membenarkan mana-mana entiti, sama ada berasaskan teknologi, kewangan digital atau komuniti antarabangsa, berkembang sehingga mewujudkan ruang autonomi yang bercanggah dengan undang-undang negara dan kepentingan keselamatan nasional,” – Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid
- Jelas beliau, antara risiko yang perlu diteliti ialah ancaman keselamatan siber, pemindahan teknologi strategik, pengumpulan data sensitif, pengaruh geopolitik asing, kegiatan risikan ekonomi serta penggunaan infrastruktur digital Malaysia untuk tujuan yang bercanggah dengan kepentingan negara.
KUALA LUMPUR – Malaysia tidak boleh membenarkan mana-mana entiti berasaskan teknologi, kewangan digital atau komuniti antarabangsa berkembang sehingga mewujudkan ruang autonomi yang bercanggah dengan undang-undang dan kepentingan keselamatan negara.
Bercakap kepada The Merdeka Times, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perkara itu perlu diberikan perhatian serius susulan kontroversi berhubung operasi Network School di Forest City, Johor.
Beliau berkata, persoalan utama yang perlu dinilai bukan sekadar program pendidikan atau pembangunan komuniti teknologi, sebaliknya kemungkinan konsep berkenaan berkembang sehingga mencabar bidang kuasa undang-undang dan kedaulatan Malaysia.
“Malaysia tidak boleh membenarkan mana-mana entiti, sama ada berasaskan teknologi, kewangan digital atau komuniti antarabangsa, berkembang sehingga mewujudkan ruang autonomi yang bercanggah dengan undang-undang negara dan kepentingan keselamatan nasional,” jelas beliau.
Mohd Azmi berkata, MAPIM mengambil maklum kenyataan pengasas Network School, Balaji Srinivasan, yang pernah merujuk visinya menggunakan istilah “tech Zionism” serta membuat perbandingan dengan Theodor Herzl.
Menurutnya, kenyataan sedemikian menimbulkan persoalan dan sensitiviti serius dalam konteks Malaysia yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel serta konsisten mempertahankan hak rakyat Palestin.
MAPIM berpandangan setiap projek teknologi, pendidikan atau komuniti antarabangsa yang beroperasi di Malaysia perlu menghormati undang-undang, dasar luar negara serta sensitiviti rakyat terhadap Zionisme dan penjajahan Palestin.
Mengulas konsep “network state” yang diperjuangkan Srinivasan, Mohd Azmi berkata, idea itu secara umumnya merujuk kepada pembentukan komuniti global yang berkongsi nilai tertentu sebelum berkembang menjadi sebuah entiti politik atau wilayah tersendiri.
Walaupun konteks sejarahnya tidak semestinya sama, beliau berkata, konsep itu mempunyai beberapa persamaan dari sudut pembentukan komuniti diaspora yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah negara bangsa.
Justeru, kerajaan dan agensi keselamatan perlu menilai implikasi jangka panjang projek sedemikian terhadap kedaulatan, bidang kuasa undang-undang dan kepentingan strategik Malaysia.
Dalam pada itu, MAPIM turut mengambil maklum dakwaan di media sosial bahawa terdapat warga Israel atau individu berkaitan Israel yang menggunakan pasport negara kedua untuk memasuki Malaysia dan menyertai program Network School.
Bagaimanapun, Mohd Azmi menegaskan MAPIM tidak mempunyai maklumat rasmi atau pengesahan bebas mengenai dakwaan tersebut.
Katanya, perkara itu perlu disiasat oleh Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia dan agensi keselamatan berkaitan, manakala setiap dakwaan hendaklah disokong fakta serta bukti sah bagi mengelakkan tuduhan tidak berasas.
Sekiranya terdapat individu berkewarganegaraan Israel memasuki Malaysia menggunakan pasport negara ketiga atau kewarganegaraan kedua, pihak imigresen dan agensi keselamatan perlu menentukan sama ada berlaku pelanggaran dasar atau prosedur sedia ada.
“Semua mekanisme saringan keselamatan dan imigresen perlu diperkukuhkan bagi memastikan dasar negara dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
MAPIM turut menggesa penilaian keselamatan menyeluruh dilakukan terhadap mana-mana pusat pengumpulan bakat teknologi antarabangsa yang melibatkan individu dari pelbagai negara.
Antara risiko yang perlu diteliti ialah ancaman keselamatan siber, pemindahan teknologi strategik, pengumpulan data sensitif, pengaruh geopolitik asing, kegiatan risikan ekonomi serta penggunaan infrastruktur digital Malaysia untuk tujuan yang bercanggah dengan kepentingan negara.
Mohd Azmi berkata, penelitian itu bukan bertujuan menyasarkan mana-mana negara secara khusus, sebaliknya merupakan amalan biasa dalam pengurusan keselamatan negara moden.
MAPIM memahami usaha kerajaan menarik pelaburan teknologi dan bakat antarabangsa ke Malaysia, namun sebarang penglibatan rasmi dengan projek yang dikaitkan dengan ideologi kontroversi perlu didahului penelitian terhadap latar belakang pengasas, sumber pembiayaan, struktur pemilikan dan objektif jangka panjangnya.
Menurutnya, keterbukaan ekonomi tidak boleh mengatasi pertimbangan keselamatan negara, dasar luar Malaysia dan sensitiviti geopolitik rakyat.
MAPIM mencadangkan supaya kerajaan menjalankan penilaian keselamatan nasional, mengaudit struktur pemilikan dan pembiayaan projek, mendapatkan penilaian agensi keselamatan siber serta risikan ekonomi dan memberikan penjelasan rasmi kepada rakyat mengenai status Network School.
Kerajaan turut digesa menambah baik mekanisme saringan imigresen dan mengadakan dialog bersama masyarakat sivil serta pakar keselamatan mengenai implikasi konsep “network state” terhadap negara bangsa moden.
Mohd Azmi berkata, Malaysia perlu terus terbuka kepada inovasi, teknologi dan pelaburan asing, namun tidak boleh bersikap naif terhadap risiko geopolitik yang semakin kompleks.
“Teknologi dan pelaburan asing dialu-alukan, tetapi kepentingan negara, keselamatan rakyat dan prinsip keadilan antarabangsa mesti sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.-The Merdeka Times