Connect with us

Terkini

Rosmah saman Harith Iskander, Dakwa dihina dalam persembahan komedi

Published

on

Foto: Datin Seri Rosmah Mansor.
  • Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 9 Jun lalu, Datin Seri Rosmah Mansor mendakwa Harith memaparkan beberapa imej makhluk mitos sebelum menunjukkan gambarnya ketika menjayakan “Harith Iskander: The Outspoken Comedy Tour” di Hotel Swiss-Garden, Melaka pada 17 Januari 2026.
  • Rosmah mendakwa persembahan itu dibuat dengan niat untuk merendahkan, memalukannya serta menggambarkan dirinya sebagai seorang yang jahat, ditakuti dan dipandang hina oleh masyarakat.
  • Harith bagaimanapun memetik Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan sebagai asas pembelaan dengan menyatakan persembahan komedi dan satira merupakan satu bentuk ekspresi seni yang dilindungi oleh kebebasan bersuara.

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan saman terhadap pelawak Harith Iskander berhubung satu persembahan komedi yang didakwanya mengandungi unsur penghinaan fizikal, ejekan terbuka dan mencemarkan reputasinya.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 9 Jun lalu, Rosmah mendakwa Harith memaparkan beberapa imej makhluk mitos sebelum menunjukkan gambarnya ketika menjayakan “Harith Iskander: The Outspoken Comedy Tour” di Hotel Swiss-Garden, Melaka pada 17 Januari 2026.

Rosmah mendakwa persembahan itu dibuat dengan niat untuk merendahkan, memalukannya serta menggambarkan dirinya sebagai seorang yang jahat, ditakuti dan dipandang hina oleh masyarakat.

Menurutnya, perbandingan tersebut lebih serius kerana dibuat di hadapan penonton secara langsung bagi mendapatkan ketawa dan hiburan.

Rosmah turut mendakwa rakaman persembahan itu kemudiannya dimuat naik di TikTok sehingga menyebabkan beliau menerima kritikan, sindiran, ejekan dan penghinaan daripada orang ramai.

Melalui peguamnya, Rosmah sebelum ini mengeluarkan surat tuntutan pada 6 Februari 2026 yang antara lain menuntut Harith memohon maaf, menarik balik kenyataan berkenaan dan membayar ganti rugi RM10 juta.

Bagaimanapun, Harith dalam pernyataan pembelaannya bertarikh 9 Julai menafikan persembahan tersebut bersifat memfitnah atau dibuat dengan niat jahat.

Beliau menegaskan persembahan itu perlu difahami berdasarkan keseluruhan konteks pertunjukan komedi selama kira-kira 90 minit, termasuk naratif, nada penyampaian, interaksi bersama penonton dan penafian yang diberikan sebelum persembahan.

Harith mengakui imej makhluk mitos dipaparkan sebagai sebahagian daripada naratif komedi, namun menafikan bahawa gambar Rosmah digunakan untuk menggambarkannya sebagai makhluk menakutkan, jahat atau menjijikkan.

Menurutnya, gambar Rosmah hanya dipaparkan kurang daripada lima saat dan bukan fokus utama persembahan tersebut.

Harith juga menegaskan dua klip TikTok yang dijadikan asas tuntutan Rosmah telah disunting, tidak lengkap dan dikeluarkan daripada konteks asal.

Beliau berkata rakaman dibuat tanpa pengetahuan atau kebenarannya serta melanggar peraturan persembahan yang melarang penonton merakam audio atau video.

Harith turut memetik Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan sebagai asas pembelaan dengan menyatakan persembahan komedi dan satira merupakan satu bentuk ekspresi seni yang dilindungi oleh kebebasan bersuara.

Beliau menafikan berniat mencemarkan reputasi Rosmah dan memohon Mahkamah Tinggi menolak saman berkenaan berserta kos.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author