Terkini
Kos sara hidup atasi politik, Pengundi Puteri Wangsa mahu kerja, Bukan janji
PUTERI WANGSA – Di sebalik persaingan sengit lima penjuru yang menyaksikan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mewakili Pakatan Harapan (PH) berdepan calon Barisan Nasional (BN), MUDA, Parti Bersama Malaysia dan calon bebas, satu hakikat jelas kedengaran daripada suara pengundi di Puteri Wangsa.
Bagi mereka, politik bukan lagi keutamaan. Sebaliknya, kos sara hidup, peluang pekerjaan dan ekonomi menjadi ukuran utama dalam menentukan undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini.
Tinjauan The Merdeka Times terhadap 10 pengundi daripada pelbagai kaum dan latar belakang pekerjaan mendapati kebanyakan mereka berkongsi keresahan yang hampir sama iaitu kehidupan semakin menghimpit, harga barang terus meningkat, peluang pekerjaan semakin sukar, manakala bantuan kerajaan pula dilihat masih belum benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.
Isu yang paling kerap dibangkitkan ialah peningkatan kos sara hidup.
Bagi Ho, 72, kehidupan menjadi semakin sukar apabila usia meningkat tanpa sumber pendapatan tetap.
“Kos sara hidup sekarang memang susah untuk orang tua macam saya. Pendapatan pun tak ada, kerja pun tak ada. Memang kena cari rezeki sendiri,” jelasnya.
Nada sama turut dikongsi pemilik restoran, Ko, 61, yang berkata kenaikan harga barang menyebabkan perniagaannya semakin merosot.
“Keadaannya teruk. Tiada bantuan. Harga barang semua naik. Semakin sukar untuk kami berniaga. Saya harap pelanggan datang,” luah beliau.
Seorang mekanik, Chang, 56, pula mempersoalkan kenaikan pelbagai caj termasuk lesen pihak berkuasa tempatan yang menurutnya dibuat tanpa penjelasan lebih awal.
“Semua harga naik. Lesen MBJB pun naik. Kalau nak buat apa-apa, beritahu dulu. Jangan suka-suka naikkan,” jelas beliau dalam nada kesal.
Selain tekanan ekonomi, peluang pekerjaan muncul sebagai satu lagi isu yang berulang kali dibangkitkan.
Aini Sudin, 58, meluahkan rasa kecewa apabila anaknya yang memiliki diploma dalam bidang elektrikal gagal mendapatkan pekerjaan yang setimpal dengan kelulusannya.
Menurutnya, selepas bertahun-tahun belajar, anaknya akhirnya terpaksa menerima apa sahaja pekerjaan yang ada kerana sukar menembusi bidang yang dipelajari.
“Anak saya ada diploma elektrikal, tetapi langsung tak dapat kerja dalam bidang itu. Habis belajar lima tahun, akhirnya kerja yang langsung tak berkaitan,” luah beliau.
Pandangan itu turut dikongsi Syamala, 31, yang berpendapat peluang pekerjaan dalam sektor awam kini terlalu sukar diperoleh walaupun untuk rakyat tempatan.
“Peluang kerja kerajaan memang susah. Sebagai rakyat pun susah nak dapat,” jelasnya.
Beban ekonomi turut dirasai pasangan suami isteri, Puspa dan Gopal.
Dengan hanya seorang bekerja sebagai pemandu teksi, mereka menanggung sewa rumah RM1,200 sebulan selain membesarkan dua cucu yang masih bersekolah.
Mereka mendakwa beberapa permohonan bantuan dan perumahan yang dibuat sebelum ini masih belum berjaya.
“Kami duduk rumah sewa RM1,200. Satu orang saja kerja bawa teksi. Tolonglah orang yang susah,” luahnya.
Selain isu ekonomi, sebahagian pengundi mahu kerajaan memberi perhatian lebih serius terhadap gejala rasuah.
Maher, 50, yang bekerja di Singapura, menyifatkan rasuah sebagai isu paling utama yang perlu ditangani.
“Rasuah paling penting. Lepas itu kerajaan kena fokus kepada ekonomi,” kongsi beliau.
Pandangan itu turut dipersetujui peniaga buah, Pang Hoo Hee, yang menganggap isu rasuah semakin serius dan berharap wakil rakyat baharu tidak mengabaikan kebajikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Walaupun ekonomi menjadi tema dominan, tinjauan turut mendapati sentimen identiti masih wujud dalam kalangan sebahagian pengundi.
Siti Anna Karim, 60, berkata beliau lebih selesa sekiranya kawasan itu dipimpin oleh seorang Melayu dan beragama Islam kerana menghormati sejarah negara sebagai tanah Melayu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tiada masalah sekiranya wakil rakyat bukan Melayu menghormati Perlembagaan serta hak orang Melayu dan Bumiputera.
“Kalau bukan Melayu tetapi menjunjung Perlembagaan dan menghormati hak orang Melayu, kita menerima,”katanya.
Dalam pada itu, Sidiq, 35, pula berpandangan pentadbiran Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, wajar diteruskan kerana beliau melihat pembangunan turut dinikmati kawasan luar bandar.
“Setakat ini Onn Hafiz dah cukup baik. Apa yang kampung-kampung perlukan banyak yang dah dapat. Yang ada sekarang saya rasa elok dikekalkan,” kata beliau.
Walaupun Puteri Wangsa menjadi antara kerusi yang mendapat perhatian dalam PRN Johor kali ini, suara pengundi yang ditemui menunjukkan mereka tidak lagi sekadar menilai calon berdasarkan parti atau retorik politik.
Sebaliknya, mereka mahukan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi setiap hari kos sara hidup yang semakin tinggi, peluang pekerjaan yang setimpal dengan kelulusan, bantuan kerajaan yang benar-benar sampai kepada golongan memerlukan, pentadbiran yang telus serta ekonomi yang lebih stabil.
Bagi mereka, janji pembangunan semata-mata tidak lagi mencukupi jika kehidupan harian rakyat terus dihimpit tekanan ekonomi.-The Merdeka Times