Terkini
Zaid cabar UMNO isytihar tidak akan bersama DAP selepas PRU16
- Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim merujuk kepada beberapa kenyataan pemimpin UMNO termasuk Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang dilaporkan lebih rela tidak menjadi Menteri Besar daripada bekerjasama dengan DAP, selain bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang dikatakan kembali bersama UMNO kerana percaya parti itu bersedia menjauhkan diri daripada DAP.
- Sehubungan itu, Zaid mencabar pemimpin UMNO yang lantang mengkritik DAP supaya menuntut Ahmad Zahid membuat pengisytiharan terbuka bahawa UMNO tidak akan menyokong mana-mana kerajaan yang turut melibatkan DAP selepas pilihan raya akan datang.
- “Tidak, mereka tidak akan berbuat demikian. Mereka suka berada dalam kerajaan, tetapi apabila hampir pilihan raya dan di penghujung penggal pentadbiran, mereka akan kembali menyalahkan DAP,” katanya.
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim mempersoalkan tindakan beberapa pemimpin UMNO yang dilihat terus menyerang DAP walaupun parti itu merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan yang turut disertai UMNO ketika ini.
Menurut beliau, pelbagai kenyataan yang dibuat pemimpin UMNO kebelakangan ini menunjukkan seolah-olah DAP menjadi sasaran utama kritikan mereka, meskipun keputusan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti itu sendiri.
Zaid merujuk kepada beberapa kenyataan pemimpin UMNO termasuk Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang dilaporkan lebih rela tidak menjadi Menteri Besar daripada bekerjasama dengan DAP, selain bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang dikatakan kembali bersama UMNO kerana percaya parti itu bersedia menjauhkan diri daripada DAP.
“Saya berharap mereka tidak berhenti menyerang DAP. DAP adalah pilihan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jadi mengapa pemimpin UMNO begitu marah dan terlalu obses terhadap DAP?” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau turut menegaskan bahawa keputusan UMNO untuk menyertai kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan dibuat atas paksaan DAP, sebaliknya merupakan keputusan yang dipersetujui oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Zahid Hamidi memilih untuk menyertai kerajaan PH. DAP tidak memaksa beliau berbuat demikian,” katanya.
Sehubungan itu, Zaid mencabar pemimpin UMNO yang lantang mengkritik DAP supaya menuntut Ahmad Zahid membuat pengisytiharan terbuka bahawa UMNO tidak akan menyokong mana-mana kerajaan yang turut melibatkan DAP selepas pilihan raya akan datang.
Menurut beliau, perkara itu bagaimanapun tidak mungkin dilakukan kerana pemimpin-pemimpin berkenaan masih mahu berada dalam kerajaan.
“Tidak, mereka tidak akan berbuat demikian. Mereka suka berada dalam kerajaan, tetapi apabila hampir pilihan raya dan di penghujung penggal pentadbiran, mereka akan kembali menyalahkan DAP,” katanya.
Beliau mendakwa tindakan tersebut bertujuan meraih semula sokongan pengundi Melayu menjelang pilihan raya, sambil menyifatkan pendekatan sedemikian sebagai gambaran tahap kematangan politik parti-parti Melayu ketika ini.-The Merdeka Times