Terkini
Trump batalkan serangan dirancang ke atas Iran, dakwa perjanjian hampir ‘dimuktamadkan’
- “Kami baru sahaja mencapai satu penyelesaian besar terhadap perang dengan Iran dan, tertakluk kepada pemuktamadan dokumen yang dijangka selesai dalam beberapa hari akan datang, kami mungkin akan mengadakan majlis menandatangani perjanjian, mungkin di Eropah,” kata Presiden AS, Donald Trump
- Trump berkata majlis menandatangani itu “boleh berlaku tidak lama lagi, sangat tidak lama lagi, mungkin hujung minggu ini” dan Naib Presiden JD Vance akan mewakili AS bersama perunding, iaitu utusan khas Steve Witkoff serta penasihat Jared Kushner.
WASHINGTON – Satu perjanjian untuk menamatkan secara kekal perang Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran mungkin ditandatangani seawal hujung minggu ini, kata Presiden Donald Trump pada Khamis, ketika perkembangan berkaitan konflik itu berubah secara mendadak sepanjang hari, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Kami baru sahaja mencapai satu penyelesaian besar terhadap perang dengan Iran dan, tertakluk kepada pemuktamadan dokumen yang dijangka selesai dalam beberapa hari akan datang, kami mungkin akan mengadakan majlis menandatangani perjanjian, mungkin di Eropah,” kata Trump kepada pemberita di Pejabat Oval.
Trump berkata majlis menandatangani itu “boleh berlaku tidak lama lagi, sangat tidak lama lagi, mungkin hujung minggu ini” dan Naib Presiden JD Vance akan mewakili AS bersama perunding, iaitu utusan khas Steve Witkoff serta penasihat Jared Kushner.
Menurut Trump, beliau tidak dapat menghadiri majlis menandatangani perjanjian yang mungkin diadakan pada hujung minggu ini, dipercayai disebabkan beberapa acara yang telah dirancang di Washington bagi meraikan ulang tahun ke-250 AS.
Ketika ditanya sama ada Pemimpin Agung Iran Mojtaba Khamenei telah meluluskan perjanjian untuk menamatkan perang itu, Trump berkata: “Setakat yang saya faham, jawapannya ya.”
Trump berkata beliau telah bercakap dengan beberapa rakan kongsi serantau yang membantu menjadi perantara perjanjian itu dan akan menghubungi Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, yang menurutnya memainkan peranan besar dalam usaha menamatkan perang berkenaan.
Tentera AS melancarkan serangan hari kedua terhadap beberapa sasaran di Iran pada Rabu malam selepas Iran menembak jatuh sebuah helikopter Apache di Selat Hormuz pada Isnin.
Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa 18 sasaran ketenteraan utama AS di pangkalan Ali Al Salem dan Ahmad Al Jaber di Kuwait, Pangkalan Udara Sheikh Isa di Bahrain, serta sebuah pangkalan di Jordan yang menempatkan jet pejuang Amerika, telah diserang.
Beberapa jam sebelum mengumumkan perkembangan positif dalam rundingan itu, Trump mengancam untuk terus melancarkan serangan “dengan sangat kuat” terhadap Iran selain mengancam untuk “merampas” Pulau Kharg, yang merupakan terminal tenaga penting bagi Tehran.
Ketika ditanya sama ada ancaman itu masih dipertimbangkan, Trump memberitahu pemberita: “Jika kami menandatangani perjanjian ini, ia tidak lagi berbangkit.” – BERNAMA-ANADOLU