Terkini
PH tiada rancangan kerjasama dengan BN selepas PRN Johor, Negeri Sembilan
- Setiausaha Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, sebaliknya, fokus ketika ini adalah untuk memperkukuh kekuatan PH sendiri dalam menghadapi sebarang kemungkinan politik selepas pilihan raya tersebut.
- “Setakat ini tidak ada apa-apa rancangan kerjasama dengan BN selepas PRN Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.
- Mengulas lanjut, menurut Muhammad Faiz, Amanah yakin akan diberikan kerusi yang berpotensi untuk dimenangi parti itu pada PRN selepas rundingan pembahagian kerusi dimuktamadkan dalam PH.
KUALA LUMPUR – Tiada sebarang perancangan untuk Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Setiausaha Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, sebaliknya, fokus ketika ini adalah untuk memperkukuh kekuatan PH sendiri dalam menghadapi sebarang kemungkinan politik selepas pilihan raya tersebut.
“Setakat ini tidak ada apa-apa rancangan kerjasama dengan BN selepas PRN Johor dan Negeri Sembilan,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Muhammad Faiz, Amanah yakin akan diberikan kerusi yang berpotensi untuk dimenangi parti itu pada PRN selepas rundingan pembahagian kerusi dimuktamadkan dalam PH.
Katanya, perbincangan mengenai pembahagian kerusi dalam PH kini hampir selesai dan akan diumumkan oleh kepimpinan gabungan itu dalam masa terdekat.
Jelasnya, rundingan antara parti-parti komponen PH berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar.
“Perkara paling penting ketika ini adalah memastikan kestabilan yang ditunjukkan oleh PH dalam menghadapi PRN.
“Yang penting adalah kestabilan yang ditunjukkan oleh PH dan pembahagian kerusi bukan isu utama kerana perkara itu akan diputuskan secara bersama oleh kepimpinan PH,” katanya.
Ditanya mengenai sasaran Amanah pada PRN, beliau berkata, parti itu hanya memberi tumpuan kepada kerusi yang mempunyai peluang kemenangan terbaik.
“Kita fokus kepada kerusi yang boleh menang. InsyaAllah, jumlahnya sudah ada, ia akan diumumkan oleh PH,” katanya. – The Merdeka Times