Terkini
Netanyahu tiada pilihan selain terima sebarang perjanjian AS dengan Iran – Trump
- “Dia tiada pilihan lain. Saya yang membuat keputusan. Saya yang menentukan segala keputusan. Bukan dia,” kata Trump dalam wawancara telefon dengan Financial Times.
- Kenyataan Trump kepada akhbar itu dibuat selepas Iran melancarkan peluru berpandu balistik ke arah sasaran di Israel dalam pelanggaran paling serius terhadap gencatan senjata yang dicapai pada awal April.
ISTANBUL – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata semalam bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu perlu menerima sebarang perjanjian nuklear yang dicapai Washington dengan Tehran, sambil menegaskan bahawa beliau mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan dasar luar Amerika Syarikat, lapor Anadolu Ajansi memetik media berpangkalan di Britain.
“Dia tiada pilihan lain. Saya yang membuat keputusan. Saya yang menentukan segala keputusan. Bukan dia,” kata Trump dalam wawancara telefon dengan Financial Times.
Kenyataan Trump kepada akhbar itu dibuat selepas Iran melancarkan peluru berpandu balistik ke arah sasaran di Israel dalam pelanggaran paling serius terhadap gencatan senjata yang dicapai pada awal April.
Dalam kenyataan terdahulu susulan serangan peluru berpandu itu, Trump memberitahu stesen penyiaran Amerika Syarikat, Fox News bahawa beliau akan mengarahkan Netanyahu supaya tidak melancarkan serangan balas terhadap Iran.
Laporan susulan oleh Axios dan media Israel kemudian menunjukkan kedua-dua pemimpin itu telah mengadakan perbualan telefon mengenai perkara berkenaan.
Walaupun berdepan serangan peluru berpandu itu, Trump berkata, beliau akan terus berusaha mencapai perjanjian dengan Tehran.
“Ia tidak akan memberi sebarang kesan kepada perjanjian itu.
“Perjanjian itu mungkin berjaya dicapai berdasarkan meritnya sendiri atau sebaliknya, tetapi perkara ini tidak akan menjejaskannya,” kata Trump.
Sekiranya rundingan akhirnya gagal, Trump berkata, beliau akan mempertimbangkan tindakan ketenteraan terhadap Iran atau memperketat sekatan ekonomi ke atas negara itu.
“Ia mungkin bermakna kami akan masuk dan menyelesaikan baki perkara yang belum kami tangani melalui tindakan ketenteraan,” katanya sambil menambah bahawa sekatan ekonomi terbukti memberi kesan lebih besar berbanding serangan ketenteraan.
Serangan Iran itu berlaku selepas beberapa siri serangan Israel terhadap sasaran di Lubnan meskipun beberapa gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat telah dipersetujui sebelum ini.
Antara serangan itu termasuk serangan ke atas kedudukan Hizbullah di Beirut, ibu negara Lubnan, pada Ahad yang mencetuskan tindak balas peluru berpandu oleh Iran.
Tehran sebelum ini menegaskan bahawa gencatan senjata kekal oleh Israel di Lubnan merupakan syarat utama bagi sebarang perjanjian dengan Amerika Syarikat. – BERNAMA-ANADOLU