Terkini
Isu permit palsu PATI bekerja tanpa dikesan: SPRM digesa siasat sindiket, unsur rasuah
- Presiden Malaysia Corruption Watch (MCW), Jais Abdul Karim menegaskan, isu pendatang tanpa izin bukan sahaja melibatkan soal imigresen, malah menyentuh aspek keselamatan negara, peluang pekerjaan rakyat tempatan dan integriti sistem pentadbiran negara.
- “Persoalan utama bukan sekadar bagaimana mereka boleh memasuki negara ini, tetapi bagaimana mereka boleh terus bekerja bertahun-tahun tanpa dikesan.
- “Keadaan ini menimbulkan persoalan mengenai kelemahan penguatkuasaan, ketirisan sistem dan kemungkinan wujudnya elemen rasuah atau perlindungan oleh pihak tertentu,” katanya.
KUALA LUMPUR – Malaysia Corruption Watch (MCW) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk campur tangan dan menjalankan siasatan terperinci berhubung kemungkinan wujudnya unsur rasuah, pemalsuan dokumen berskala besar serta pembabitan sindiket terancang yang melindungi kebanjiran warga asing tanpa permit sah di negara ini.
Bercakap kepada The Merdeka Times, Presiden MCW, Jais Abdul Karim menegaskan, isu pendatang tanpa izin bukan sahaja melibatkan soal imigresen, malah menyentuh aspek keselamatan negara, peluang pekerjaan rakyat tempatan dan integriti sistem pentadbiran negara.
“Persoalan utama bukan sekadar bagaimana mereka boleh memasuki negara ini, tetapi bagaimana mereka boleh terus bekerja bertahun-tahun tanpa dikesan.
“Keadaan ini menimbulkan persoalan mengenai kelemahan penguatkuasaan, ketirisan sistem dan kemungkinan wujudnya elemen rasuah atau perlindungan oleh pihak tertentu,” katanya ketika dihubungi.
Beliau mengulas isu kebanjiran warga asing tanpa permit dan visa sah yang digajikan oleh syarikat serta warga tempatan terutamanya sebagai pekerja kebun, ladang, dan pengawal keselamatan perumahan.
Ini termasuk taktik warga asing yang memasuki Malaysia sebagai pelawat tetapi tinggal lebih masa untuk bekerja di sini bertahun-tahun dengan menggunakan identiti orang lain dan permit palsu.
Apa yang lebih membimbangkan, tegas Jais, adalah dakwaan kewujudan sindiket yang menggunakan permit palsu, identiti orang lain atau dokumen yang telah tamat tempoh bagi membolehkan mereka terus bekerja dalam sektor perladangan, pertanian, pembinaan dan kawalan keselamatan.
Bagi membendung gejala ini daripada terus membarah, MCW menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk memperkasakan operasi penguatkuasaan berasaskan risikan, memperluaskan penggunaan sistem biometrik bersepadu, serta melaksanakan audit berkala yang ketat terhadap majikan.
Pada masa sama, beliau menambah bahawa tindakan penguatkuasaan yang adil dan tegas mesti melibatkan semua rantaian yang terlibat dalam rantaian sub-sektor pekerjaan berkenaan.
“Tindakan tidak seharusnya tertumpu kepada pekerja asing semata-mata, sebaliknya majikan dan ejen yang mengambil kesempatan terhadap kelemahan sistem juga mesti dikenakan hukuman yang lebih berat,” kata Jais.
Bagi memperkukuh sistem kawalan, kerajaan juga digesa mewujudkan satu pangkalan data bersepadu yang mengintegrasikan maklumat daripada JIM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) demi mengesan sebarang bentuk penipuan identiti atau penyalahgunaan permit dengan lebih efisien. – The Merdeka Times