Connect with us

Terkini

Gempur lokasi tumpuan, JIM tubuh inspektorat banteras lambakan warga asing

Published

on

Foto: Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk  Zakaria Shaaban.
  • Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk  Zakaria Shaaban berkata, pihaknya turut menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) tahunan yang memberi penekanan kepada tindakan terhadap warga asing dan majikan yang melakukan kesalahan imigresen sebagai sebahagian usaha memperkukuh pematuhan undang-undang negara.
  • “Selaras dengan penegasan kerajaan untuk mempertingkat tindakan terhadap penyalahgunaan pas dan aktiviti perniagaan tanpa kebenaran, JIM akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan serta memperkukuh kerjasama strategik dengan kementerian, agensi penguatkuasa dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan setiap pelanggaran undang-undang dapat ditangani secara lebih berkesan dan menyeluruh,” katanya.

KUALA LUMPUR – Operasi penggempuran bersasar di lokasi tumpuan dan penubuhan Inspektorat Penguatkuasaan menjadi antara pendekatan strategik yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi memastikan penguatkuasaan lebih berkesan dan menyeluruh dalam usaha membanteras lambakan warga asing serta majikan yang melanggar undang-undang di negara ini.

JIM juga melaksanakan tindakan tegas terhadap majikan yang melanggar peraturan imigresen serta pengukuhan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasa berkaitan.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk  Zakaria Shaaban berkata, pihaknya turut menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) tahunan yang memberi penekanan kepada tindakan terhadap warga asing dan majikan yang melakukan kesalahan imigresen sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pematuhan undang-undang negara.

“Selaras dengan penegasan kerajaan untuk mempertingkat tindakan terhadap penyalahgunaan pas dan aktiviti perniagaan tanpa kebenaran, JIM akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan serta memperkukuh kerjasama strategik dengan kementerian, agensi penguat kuasa dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan setiap pelanggaran undang-undang dapat ditangani secara lebih berkesan dan menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementerian itu akan mempergiat operasi penguatkuasaan di seluruh negara bagi membanteras kegiatan warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk menjalankan aktiviti perniagaan.

Beliau berkata, tindakan itu susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu semua agensi berkaitan mengambil tindakan segera terhadap kegiatan itu.

Katanya, isu itu dibangkitkan sendiri Perdana Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini selepas menerima aduan secara langsung daripada orang ramai.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, jabatan tersebut kekal komited memastikan kemudahan imigresen yang diberikan digunakan mengikut tujuan yang dibenarkan serta menyokong usaha kerajaan dalam memelihara ketenteraman awam, integriti sistem imigresen dan persekitaran ekonomi yang adil kepada semua pihak.

Menurutnya, jabatan tersebut terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap warga asing yang melanggar syarat pas serta menjalankan aktiviti pekerjaan atau perniagaan tanpa kebenaran yang sah di negara ini.

Sehingga 31 Mei 2026, katanya, pihak JIM telah menahan seramai 30,801 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen. 

“Daripada jumlah tersebut, seramai 2,324 individu dikesan menyalahgunakan pas yang diberikan, termasuk terlibat dalam aktiviti yang tidak selaras dengan tujuan asal kemasukan mereka ke Malaysia. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author