Connect with us

Terkini

Dilema isteri bersuami gay: Mentua nafi, salahkan menantu, beri alasan terkena sihir pemisah

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Pahitnya realiti itu terpaksa ditelan seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, apabila mahligai rumah tangga yang dibina hancur selepas suaminya terpalit dengan hubungan sesama jenis.
  • Namun, di sebalik bukti digital yang jelas, pihak keluarga mentua sebaliknya memilih untuk hidup dalam penafian dan menuding jari kepada Siti.
  • Menurut Siti, selepas keputusan untuk bercerai diambil, ibu bapa bekas suaminya enggan menerima kenyataan berhubung orientasi seksual anak lelaki mereka sebaliknya mendakwa rumah tangga yang runtuh itu berpunca daripada gangguan mistik.

KUALA LUMPUR – Sikap segelintir masyarakat dan institusi kekeluargaan yang enggan menerima hakikat mengenai orientasi seksual songsang ahli keluarga sendiri yang menyebabkan keretakan institusi perkahwinan, sering kali mengorbankan emosi mangsa yang tidak bersalah.

Pahitnya realiti itu terpaksa ditelan oleh seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, apabila mahligai rumah tangga yang dibina hancur selepas suaminya terpalit dengan hubungan sesama jenis. 

Namun, di sebalik bukti digital yang jelas, pihak keluarga mentua sebaliknya memilih untuk hidup dalam penafian dan menuding jari kepada Siti.

Menurut Siti, selepas keputusan untuk bercerai diambil, ibu bapa bekas suaminya enggan menerima kenyataan berhubung orientasi seksual anak lelaki mereka sebaliknya mendakwa rumah tangga yang runtuh itu berpunca daripada gangguan mistik.

“Mak dan bapanya mengatakan kami telah kena sihir pemisah sehingga menyebabkan dia dingin dan tidak bernafsu dengan saya,” dedah Siti.

Penjelasan berunsur mistik itu bagaimanapun disanggah keras oleh Siti berdasarkan garis masa dan bukti kukuh yang dimilikinya. 

Beliau menegaskan bahawa isu kecenderungan seksual tersebut telah lama wujud, bukannya satu gangguan yang muncul secara tiba-tiba selepas ijab kabul.

“Perkara ini bukan disebabkan dingin dan tidak bernafsu sahaja yang menyebabkan saya pilih jalan untuk berpisah, namun saya ada bukti yang menunjukkan dia memang sudah songsang beberapa tahun sebelum. 

“Bukannya dia baru songsang selepas berkahwin. Dan hubungan itu masih aktif walaupun selepas berkahwin,” katanya.

Beliau juga telah mengaku di hadapan saya secara verbal bahawa beliau memang mempunyai kecenderungan terhadap lelaki lebih daripada wanita,” jelasnya.

Sindrom penafian daripada pihak keluarga mentua akhirnya memberikan impak emosi yang sangat berat kepada Siti. 

Di kala anak lelaki mereka terus melarikan diri dan hilang dari radar tanpa sebarang khabar berita, Siti pula yang diasak dengan tanggungjawab untuk memulihkan keadaan.

“Kesan emosi terhadap saya apabila ibu bapa mereka menganggap kecenderungan seksual anak mereka seolah-olah bukan benda yang besar. 

“Sehingga berkali-kali memujuk saya untuk rujuk semula, sedangkan pihak anaknya langsung hilang dari radar. Mereka menyuruh saya yang pujuk semula anak mereka untuk rujuk kembali.”

Tindakan menolak realiti tersebut diiringi dengan sikap victim-blaming yang meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada Siti kerana memilih jalan penceraian. 

Lebih mengecewakan, tiada sebarang permohonan maaf yang dihulurkan oleh pihak sana, sekali gus memadamkan hasrat awal Siti untuk menamatkan hubungan tersebut secara baik antara kedua-dua belah pihak.

“Tujuan saya memaklumkan perkara sebenar kepada ibu bapa beliau adalah untuk tolong tengokkan dan tolong tarik semula anaknya ke pangkal jalan, kerana saya tahu tiada siapa yang akan menolong anak melainkan ibu bapa sendiri.

“Saya juga tidak mampu berada di dalam situasi tersebut untuk tolong beliau. Itu sahaja niat saya.”

Bagaimanapun, tindakan membelakangkan bukti digital yang jelas di depan mata dan memalingkan kesalahan kepada pihak luar disifatkan Siti sebagai punca utama yang merosakkan moral pelaku maksiat.

“Namun, apabila niat saya disalahtafsirkan, saya merasakan bahawa ibu bapa mereka yang sebenarnya menjadi punca kerosakan anak-anak kerana terlampau dimanjakan sehinggakan kesalahan terbesar anak pun mereka tutup mata dan tak salahkan anak tu.

Malah menunding jari ke orang lain walaupun terang-terang ada bukti. Lagilah si anak besar kepala kerana keluarga sendiri ‘back up’ kesalahan maksiat sesama jenis yang beliau lakukan.”

Mengulas mengenai kecenderungan masyarakat yang lebih rela mempercayai faktor mistik berbanding berhadapan dengan isu orientasi seksual, Siti melihat ia sebagai satu jalan keluar yang mudah bagi mengelakkan rasa malu.

Gejala ini didapatinya menebal terutamanya di kawasan yang masih belum terbuka membincangkan isu-isu sensitif sebegini.

“Saya fikir kadang-kadang masyarakat lebih selesa mencari penjelasan yang lebih mudah diterima daripada berhadapan dengan realiti yang memalukan dan mengaibkan. 

“Terutamanya apabila kesalahan itu daripada ahli keluarga sendiri, mereka lebih rela menunding jari terhadap orang yang tidak bersalah atau memilih apa-apa sahaja alasan asalkan aib keluarga mereka tertutup rapi. Isu orientasi seksual masih dianggap sensitif dan sukar dibincangkan secara terbuka dalam banyak keluarga terutamanya masyarakat di luar bandar yang masih jumud tentang isu ini.”

Di akhir perkongsian untuk siri ini, Siti menegaskan bahawa tindakan menutup sebelah mata dan terus hidup dalam penafian tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya akan mengundang impak dan kerosakan yang jauh lebih besar kepada orang sekeliling pada masa hadapan. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author