Terkini
DAP tidak akan ada dalam kerajaan Johor BN – Onn Hafiz
- “DAP tidak pernah dan tidak akan ada dalam Kerajaan Johor BN. Ini hanya boleh menjadi kenyataan jika rakyat Bangsa Johor terus memberi sokongan dan mandat kepada BN Johor yang saya pimpin. Ini bukan soal sombong. Ini juga bukan soal perkauman. Ini soal prinsip, mandat dan tanggungjawab kepada Bangsa Johor,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
- Beliau turut menjelaskan bahawa kerjasama antara BN dan PH di peringkat Kerajaan Persekutuan selepas PRU15 tidak boleh disamakan dengan situasi politik di Johor. Pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat berlaku selepas tiada mana-mana gabungan memperoleh majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika itu.
- Keadaan di Johor berbeza kerana BN telah menerima mandat yang jelas daripada rakyat untuk mentadbir negeri tersebut.
KUALA LUMPUR – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan bahawa DAP tidak pernah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Johor di bawah Barisan Nasional (BN) dan tidak akan berada dalam pentadbiran negeri itu pada masa hadapan selagi rakyat terus memberikan mandat kepada BN Johor.
Menurut beliau, pendirian tersebut bukan didorong oleh sikap sombong mahupun sentimen perkauman, sebaliknya berasaskan prinsip, mandat rakyat serta tanggungjawab untuk menjaga kepentingan Bangsa Johor.
Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor berkata, sebagai pemimpin yang bertanggungjawab menjaga kebajikan serta berkhidmat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum, beliau wajib menghormati kehendak akar umbi yang mahu BN bergerak secara bersendirian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
“DAP tidak pernah dan tidak akan ada dalam Kerajaan Johor BN. Ini hanya boleh menjadi kenyataan jika rakyat Bangsa Johor terus memberi sokongan dan mandat kepada BN Johor yang saya pimpin.
“Ini bukan soal sombong. Ini juga bukan soal perkauman. Ini soal prinsip, mandat dan tanggungjawab kepada Bangsa Johor,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau turut menjelaskan bahawa kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak boleh disamakan dengan situasi politik di Johor.
Menurutnya, pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat berlaku selepas tiada mana-mana gabungan memperoleh majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika itu.
Bagaimanapun, katanya, keadaan di Johor berbeza kerana BN telah menerima mandat yang jelas daripada rakyat untuk mentadbir negeri tersebut.
“Di Johor, BN telah diberi mandat yang jelas oleh rakyat. Alhamdulillah, kita telah membentuk kerajaan negeri yang stabil. Kita telah membuktikan prestasi dan kita mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan kerja ini tanpa diganggu oleh percaturan politik yang menggugat kestabilan negeri,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Johor mempunyai pendekatan tersendiri dalam menguruskan pentadbiran negeri dan hala tuju politiknya.
“Di Johor, kita ada cara kita. Ini UMNO Johor. Ini BN Johor. Ini Bangsa Johor,” katanya.-The Merdeka Times