Terkini
‘Bersatu rosakkan gagasan penyatuan ummah’ – PAS
- Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan, perkara paling utama bagi PAS adalah penyatuan ummah dan perkara itu antara faktor keputusan parti itu menghentikan kerjasama bersama Bersatu, semalam.
- “Apabila Bersatu di dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN mengambil sikap menentang kemasukan parti-parti seperti Berjasa, Pejuang, Iman dan Putra walaupun kertas cadangan sudah disiapkan, tindakan itu jelas merosakkan gagasan penyatuan yang dihasratkan selama ini.
- “Ia bukan menggembirakan tetapi ia ubat pahit yang perlu ditelan demi kemaslahatan yang lebih besar, “ katanya.
KUALA LUMPUR – Penentangan Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadap kemasukan parti-parti seperti Berjasa, Pejuang, Iman dan Putra jelas merosakkan gagasan penyatuan ummah yang dihasratkan selama ini.
Penentangan tersebut dilakukan walaupun kertas cadangan berkaitannya telah disiapkan.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan, perkara yang paling utama bagi PAS adalah penyatuan ummah dan perkara itu antara faktor keputusan parti itu menghentikan kerjasama bersama Bersatu semalam.
“PAS tidak mengambil keputusan berdasarkan sentimen atau kepentingan jangka pendek, sebaliknya berdasarkan penilaian terhadap kemampuan sesuatu kerjasama untuk mencapai matlamat lebih besar iaitu penyatuan ummah dan kestabilan politik negara.
“Apabila Bersatu di dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) mengambil sikap menentang kemasukan parti-parti seperti Berjasa, Pejuang, Iman dan Putra walaupun kertas cadangan sudah disiapkan, tindakan tersebut jelas merosakkan gagasan penyatuan yang dihasratkan selama ini, “ katanya dalam satu kenyataan.
PAS semalam secara rasmi memutuskan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.
“Ia bukan menggembirakan tetapi ia ubat pahit yang perlu ditelan demi kemaslahatan yang lebih besar, “ katanya.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ketetapan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pusat yang berlangsung semalam selepas mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan kedua-dua parti
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, perkara itu ditambah pula dengan kronologi sikap Bersatu di Perlis dan Negeri Sembilan yang telah menjejaskan moral jentera PAS untuk terus bekerja bersama Bersatu dalam pilihan raya akan datang.
Jelasnya, kedudukan PAS dan Bersatu dalam PN akan diuruskan mengikut peruntukan perlembagaan dan saluran yang sewajarnya.
“Sudah tentu PAS dan Bersatu tidak boleh terus berada di bawah payung yang sama berikutan keputusan yang dibuat semalam,” katanya lagi.
Beliau menambah, PAS tidak mengambil keputusan berdasarkan sentimen atau kepentingan jangka pendek, sebaliknya berdasarkan penilaian terhadap kemampuan sesuatu kerjasama untuk mencapai matlamat yang lebih besar iaitu penyatuan ummah dan kestabilan politik negara.
Tegasnya, perkara itu bukan menggembirakan tetapi ia ubat pahit yang perlu ditelan demi kemaslahatan yang lebih besar. – The Merdeka Times