Terkini
Annuar Musa tuntut penjelasan kutipan tol Genting Highlands
- Beliau membangkitkan keraguan mengapa kebenaran mengutip tol tersebut diberikan sekarang atas alasan ia merupakan jalan persendirian (private road), sedangkan laluan itu merupakan antara rangkaian utama yang menghubungkan Lebuhraya Karak di Pahang dan Jalan Hulu Yam di Hulu Selangor.
- “Jalan dibina atas tanah siapa? Tidakkah ini dulunya tanah kerajaan? Apa jenis hak milik (title) tanah tersebut? Orang awam yang memajukan tanah mereka disyaratkan membina jalan dengan piawaian tertentu, kemudian jalan itu menjadi jalan awam. Kenapa Genting kini dikecualikan?” soal beliau dalam satu kenyataan.
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mempersoalkan keputusan pelaksanaan kutipan tol di jalan menuju ke Genting Highlands yang mula berkuat kuasa semalam, sambil menuntut penjelasan telus daripada pihak berkuasa mengenai status sebenar jalan berkenaan.
Beliau membangkitkan keraguan mengapa kebenaran mengutip tol tersebut diberi sekarang atas alasan ia merupakan jalan persendirian (private road), sedangkan laluan itu merupakan antara rangkaian utama yang menghubungkan Lebuhraya Karak di Pahang dan Jalan Hulu Yam di Hulu Selangor.
“Jalan dibina atas tanah siapa? Tidakkah ini dulunya tanah kerajaan? Apa jenis hak milik (title) tanah tersebut?
“Orang awam yang memajukan tanah mereka disyaratkan membina jalan dengan piawaian tertentu, kemudian jalan itu menjadi jalan awam. Kenapa Genting kini dikecualikan?” soal beliau dalam satu kenyataan.
Annuar turut menarik perhatian mengenai implikasi perundangan sekiranya laluan ke pusat peranginan tanah tinggi itu terus diklasifikasikan sebagai jalan persendirian.
Beliau mempersoalkan sekiranya berlaku sebarang kemalangan, adakah pemilik jalan berkenaan akan bertanggungjawab sepenuhnya, selain membangkitkan status perlindungan dan polisi pihak syarikat insurans terhadap para pengguna di laluan tersebut.
“Genting telah menjana keuntungan berpuluh malah ratusan bilion sebelum ini, bukankah tidak wajar jalan ini dianggap private?
“Jalan yang berkenaan bukan hanya diguna oleh pengunjung Genting Highlands sahaja, malah ada institusi kerajaan seperti balai polis dan lain-lain di situ. Mengapa mereka juga mesti membayar kepada Genting Highlands?” katanya.
Sehubungan itu, beliau mendesak pihak berkaitan untuk tampil memberikan penjelasan tuntas mengenai pihak yang meluluskan pelaksanaan tol berkenaan, garis masa kutipan, jumlah unjuran trafik serta kewajaran mengapa konsesi tersebut tidak diuruskan oleh pihak kerajaan bagi tujuan penyelenggaraan.
“(Adakah) Kutipan tol ini untuk tempoh selama-lamanya? Jika begitu, ia menjadi durian runtuh kepada Genting Highlands? Siapa terlibat,” soalnya.
Media melaporkan, pengguna jalan Genting Highlands dikenakan tol ataupun caj laluan bermula semalam susulan pelaksanaan kutipan caj oleh syarikat pengendali jalan, Lingkaran Cekap Sdn Bhd (LCSB).
LCSB dalam kenyataan memaklumkan, pelaksanaan caj itu akan dibuat dalam dua fasa melibatkan semua pengguna jalan yang dibenarkan kecuali kategori tertentu yang dikecualikan.
Menurut kenyataan itu, kutipan caj akan bermula di dua lokasi iaitu laluan masuk Genting Highlands di Genting Sempah dan laluan masuk Gohtong Jaya di bulatan Gohtong Jaya.
“Bagi kenderaan kelas 1 iaitu kereta dan van, caj dikenakan ialah RM5 bagi setiap kemasukan, manakala kenderaan kelas 2 iaitu lori sederhana pula dikenakan caj RM15.
“Kelas ketiga, lori berat RM25, kelas keempat (teksi) RM3.30 dan kelas kelima ( bas) dikenakan caj RM5,” menurut kenyataan itu.
Tambah LCSB, kenderaan kelas 2, 3, 4 dan 5 diwajibkan memasuki laluan melalui ‘Lorong Khas’ atau menggunakan sistem Pengecaman Plat Nombor (LPR).
Dalam pada itu, syarikat pengendali jalan itu memaklumkan, motosikal dan kenderaan kecemasan diberikan pengecualian tanpa memerlukan pendaftaran.Selain itu, kenderaan persendirian milik penjawat awam yang bertugas di beberapa institusi kerajaan di Genting Highlands turut dikecualikan dengan syarat berdaftar dan menggunakan laluan LPR atau Lorong Khas. – The Merdeka Times