Terkini
UAE gesa PBB ambil tindakan ketenteraan buka semula Selat Hormuz
- UAE menggesa PBB ambil tindakan, termasuk ketenteraan untuk membuka semula Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi memetik Bloomberg.
- Majlis perlu mengambil tindakan segera bagi memastikan pelayaran selamat di selat itu dan kawasan sekitarnya, kata Duta Mohamed Abushahab dalam surat kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dan Presiden Majlis Keselamatan.
- Rangka kerja perundangan itu memberi kuasa kepada majlis itu untuk menangani ancaman terhadap keamanan antarabangsa melalui langkah yang merangkumi sekatan ekonomi hingga penggunaan kekuatan ketenteraan yang dibenarkan.
ISTANBUL – Emiriah Arab Bersatu (UAE) menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan, termasuk penggunaan ketenteraan untuk membuka semula Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi memetik Bloomberg pada Rabu.
Majlis perlu mengambil tindakan segera bagi memastikan pelayaran selamat di selat itu dan kawasan sekitarnya, kata Duta Mohamed Abushahab dalam surat bertarikh Selasa kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dan Presiden Majlis Keselamatan.
Negara Teluk itu secara khusus berusaha untuk menggunakan Bab 7 Piagam PBB.
Rangka kerja perundangan itu memberi kuasa kepada majlis berkenaan untuk menangani ancaman terhadap keamanan antarabangsa melalui langkah yang merangkumi sekatan ekonomi hingga penggunaan kekuatan ketenteraan yang dibenarkan.
Selat Hormuz terjejas sejak awal Mac, apabila Iran bertindak menyekat laluan perairan itu sebagai tindak balas terhadap serangan AS-Israel yang bermula pada 28 Feb.
Kira-kira 20 juta tong minyak, iaitu sekitar 20 peratus bekalan global melalui selat itu setiap hari.
Penutupannya telah menyebabkan harga minyak global meningkat, mengganggu perkapalan dan mencetuskan kebimbangan terhadap kesan ekonomi yang berpanjangan.
AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran sejak akhir Februari, menyebabkan lebih 1,340 orang terbunuh termasuk Pemimpin Tertinggi Iran ketika itu, Ali Khamenei. – BERNAMA-ANADOLU