Connect with us

Terkini

Tentera pengaman termasuk MALBATT boleh lepaskan tembakan dalam keadaan tertentu

Published

on

Foto: Penganalisis pertahanan, Zaki Salleh.
  • Penganalisis pertahanan berkata, perkara itu berdasarkan mandat United Nations Security Council Resolution 1701.
  • Tambahnya, peruntukan ini merangkumi hak mempertahankan diri sekiranya diserang, melindungi orang awam yang berdepan ancaman segera serta memastikan kawasan operasi mereka tidak digunakan untuk aktiviti bermusuhan.
  • “Walau bagaimanapun, MALBATT sebagai contoh, mempunyai keupayaan untuk mempertahankan diri sekiranya diserang tetapi kemampuan (kuasa persenjataan) yang ada masih terhad,” katanya.

KUALA LUMPUR – Tentera pengaman United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) termasuk Batalion Malaysia (MALBATT) dibenarkan menggunakan ‘kekerasan’ dalam keadaan tertentu termasuk melepaskan tembakan.

Perkara itu berdasarkan mandat United Nations Security Council Resolution 1701.

Penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berkata, peruntukan ini merangkumi hak mempertahankan diri sekiranya diserang, melindungi orang awam yang berdepan ancaman segera serta memastikan kawasan operasi mereka tidak digunakan untuk aktiviti bermusuhan.

“Walau bagaimanapun MALBATT sebagai contoh, mempunyai keupayaan untuk mempertahankan diri sekiranya diserang tetapi kemampuan (kuasa persenjataan) yang ada masih terhad. 

“Keupayaan tentera pengaman hanya pada peringkat bertahan (defensif) dengan kelengkapan sehingga kepada kenderaan perisai sahaja selain mesingan berat. Berbeza dengan Tentera Pertahanan Israel (IDF) yang mempunyai kereta kebal, meriam, roket dan peluru berpandu jarak sederhana.

“Cuma sebolehnya kita atau mana-mana pasukan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hendak mengelakkan tercetusnya konflik bersenjata antara tentera pengaman dengan IDF atau pihak bertelagah kerana jika berlaku ia akan mengubah keadaan zon konflik di Lubnan,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung prosedur operasi standard (SOP) pasukan UNIFIL dalam situasi tembakan.

Ahad lalu, pasukan UNIFIL melaporkan bahawa sebuah kereta kebal Israel merempuh kenderaannya di selatan Lubnan, menyebabkan kerosakan dan menyekat pergerakan anggota pengaman di kawasan itu.

Sebelum ini, Indonesia mengesahkan seorang anggota pengamannya maut manakala tiga yang lain cedera selepas bedilan artileri tidak langsung mengenai satu pos UNIFIL manakala dua lagi anggota pengaman terkorban dalam satu ‘letupan yang tidak diketahui puncanya’ yang memusnahkan kenderaan mereka berhampiran Bani Hayyan di daerah Marjeyoun.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan menggesa PBB mempertimbangkan permohonan Malaysia untuk menilai semula penempatan anggota MALBATT di Lubnan susulan perubahan situasi keselamatan di kawasan operasi.

Mengulas lanjut, Zaki berkata, penarikan semula MALBATT di Lubnan adalah wajar susulan situasi semasa di negara itu yang kini dibelenggu isu keselamatan dan ketegangan konflik.

Beliau berpendapat, tidak timbul persepsi negatif dalam kalangan rakyat atas tindakan penarikan itu memandangkan perkara yang lebih utama adalah keselamatan kira-kira 500 anggota pengaman negara.

“Kejadian ini bukan lagi sekadar risiko sampingan, tetapi ancaman langsung terhadap keselamatan pasukan pengaman termasuk MALBATT. Hakikatnya, misi UNIFIL kini berada dalam persekitaran konflik aktif yang sukar diramal.

“Ketegangan antara Israel dan kumpulan bersenjata di Lubnan terus memuncak tanpa tanda penyelesaian segera. Dalam keadaan ini, anggota MALBATT terdedah kepada bahaya tembakan silang, serangan udara dan insiden tidak disengajakan.

 “Insiden melibatkan INDOBATT sebelum ini juga menjadi bukti bahawa pasukan pengaman tidak lagi kebal daripada ancaman maut. Malah, kejadian anggota MALBATT cedera pada tahun 2024 menunjukkan risiko boleh berlaku walaupun dalam pergerakan logistik. Ini membuktikan bahawa tahap keselamatan di kawasan operasi semakin merosot dengan ketara,” katanya.

Mengulas lanjut, Zaki berkata, dari sudut strategik, tanpa kehadiran pasukan pengaman antarabangsa, Israel berpotensi memperoleh kebebasan operasi yang lebih luas sama ada melalui serangan darat atau udara, tanpa risiko melibatkan atau mencederakan anggota dari negara luar.

Menurutnya, Israel secara terbuka telah menggesa supaya kedudukan UNIFIL di selatan Lubnan dikosongkan. 

“Alasan yang diberikan adalah kehadiran pasukan pengaman menghalang operasi mereka terhadap Hezbollah serta dakwaan bahawa UNIFIL gagal mengekang serangan ke arah Israel.

“Kesan Pengunduran UNIFIL adalah kawasan sempadan tersebut akan kehilangan mekanisme pemantauan antarabangsa, sekali gus memberikan kelebihan taktikal kepada tentera Israel untuk menguasai kawasan tersebut.

Jelasnya, UNIFIL juga dalam proses mengecilkan operasi berikutan penarikan keluar sepenuhnya dijadualkan menjelang akhir tahun 2027, susulan undian Majlis Keselamatan PBB pada Ogos 2025 (Resolusi UNSCR 2790). 

“Keputusan ini didorong oleh tekanan kuat daripada Israel dan Amerika Syarikat, yang berpendapat bahawa misi tersebut gagal menghalang pembinaan kekuatan ketenteraan Hezbollah di selatan Lubnan,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author